TINDAKAN seorang penceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili Perikatan Nasional (PN) menggunakan nama malaikat dalam kempen meraih undi dikritik
Pakar hadis, Dr Rozaimi Ramle antara yang menegur tindakan itu tiada masalah untuk berkempen memenangkan parti sendiri, namun mengingatkan supaya orang politik tidak menjaja nama malaikat dalam hal yang belum pasti.
“Nak berkempen politik untuk menangkan parti sendiri tidak ada masalah. Kempenlah dengan cara menjelaskan keistimewaan idea dan gagasan yang ingin dibawa.
“Jangan pula dijaja nama malaikat dalam perkara yang belum pasti.
“Sedikit nasihat saya untuk orang politik yang sedang berkempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Terdahulu satu video berdurasi 1 minit 27 saat memaparkan kempen PN menimbulkan rasa tidak senang hati orang Islam apabila juru kempen mula menjual nama berkait dengan akidah umat Islam.
“Saya hanya nak semua orang Melaka, (bila) pangkah (parti) itu, malaikat pun tak marah kita. Malaikat, kenapa aku pangkah ini? Sebab dia telah membuktikan dia telah menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat. Maka aku pangkahlah dia.
“Kita boleh bagitahu pada malaikat yang soal kita. Kita boleh bagitahu pada Allah di padang mahsyar.
“Nawaitu kita tidak lain tidak bukan, nak memastikan barisan kepimpinan calon-calon Perikatan Nasional kita (menang)," kata individu itu dalam rakaman video berkenaan.
Terdahulu, aktivis politik, Jamzuri Ardani menerusi media sosial Facebooknya, berkongsi satu klip video ceramah pendek yang dianjurkan Perikatan Nasional.
Selain Rozaimi, tindakan individu dalam video itu turut dikritik pendakwah Syahbudin Ahmad.
Dalam video reaksi disiarkan di Youtube, beliau menggesa pengundi berhati-hati dengan dengan kata-kata seperti dibuat individu itu yang disifatkannya sebagai 'kenyataan busuk,'
"Sebahagian ahli politik menggunakan agama untuk kepentingan jawatan dan harta. Mereka membelit kita dengan kebodohan.
"Sarakah kepada jawatan menyebabkan manusia sanggup menjadikan agama sebagai gula-gula politik. hati-hati kawan-kawan," katanya.
Beliau turut merujuk hadis Sahih riwayat Imam Ahmad yang menyentuh sikap sebahagian individu yang sarakah kepada harta dan kemuliaan sehingga merosakkan agama.
"Sejak daripada dulu lagi, ekologi politik kita menggunakan gula-gula politik sebegini. menggunakan nama Malaikat , bahkan sebahagiannya menjadi juru cakap Allah.
"Memilih parti mereka bererti memilih pilihan Allah, ini semua kata-kata kotor dari hati yang sangat jahat," tegasnya.
Berhati-hati dengan pihak suka jaja agama |
"Kita memilih ketokohan kepimpinan dan amanah, kerana itulah yang diajar oleh Al-Quran," tambahnya.
0 Comments