Hairan mengapa k'jaan Ismail lulus dana milik rakyat untuk Najib - Mat Sabu



TINDAKAN
Kabinet diterajui Ismail Sabri Yaakob meluluskan permohonan Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara dianggap keputusan tidak masuk akal dan melampau.

Melalui satu kenyataan semalam, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, parti itu senada dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) lain   menolak pemberian rumah dan tanah hasil wang rakyat kepada Ahli Parlimen Pekan itu yang sebelum ini disabitkan kesalahan jenayah.

Sambil mempersoalkan tindakan itu, Mohamad Sabu mengimbau kehidupan beberapa bekas perdana menteri terdahulu yang hidup dengan pencen dan wang imbuhan yang kecil atas jasa mereka.

“Tunku Abdul Rahman yang besar jasanya, tidak memperolehi wang pencen yang mencukupi, beliau menjadi kolumnis di akhbar The Star dengan bayaran imbuhan yang kecil.

“Mantan-mantan Perdana Menteri ini tidak pernah mencuri harta rakyat semasa menjadi PM, mereka tidak pernah didakwa atau dijatuhkan hukuman di atas perlakuan jenayah.

“Berlainan dengan kes Najib di mana beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah dan telah pun dihukum penjara. Beliau hanya menunggu rayuan di atas hukuman jenayah yang telah beliau lakukan,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Susulan kecaman beberapa pemimpin pembangkang, termasuk DatuK Seri Anwar yang berkata bahawa pihaknya akan mengkaji semula Memorandum Persefahaman yang ditandatangani bersama kerajaan, Najib kemudian menarik balik permohonannya untuk mendapatkan hartanah  yang layak dipohon oleh bekas-bekas perdana menteri itu.

Dia memberi alasan bahawa keputusan itu setelah mengambil kira keadaan rakyat yang berdepan saat sukar.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan Malaysia menanggung hutang 1MDB yang amat besar akibat kecuaian Najib.

“Pada tahun 2019, Menteri Kewangan ketika itu mendedahkan bahawa skandal kewangan dan penyelewengan kerajaan terdahulu sama ada berkaitan 1MDB atau bukan, dianggar membabitkan kira-kira RM150 bilion.

“Kes 1MDB sahaja membabitkan RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

Keputusan K'jaan Ismail dikecam ramai
“Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC di bawah pentadbiran Najib.

“Justeru kita hairan mengapa seorang yang digelar banduan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir dianugerahkan dengan dana milik rakyat? Ini tindakan yang tidak logik,” kata bekas Menteri Pertahanan itu.

Post a Comment

0 Comments