K'jaan digesa sedia subsidi, elak harga barang asas naik

 

KERAJAAN Persekutuan dicadangkan supaya menyediakan subsidi barangan asas dan sayuran apabila tiba musim-musim yang luar jangka seperti musim tengkujuh yang boleh menyebabkan peningkatan harga barangan mentah.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda ketika mengemukakan cadangan itu berkata, tindakan proaktif perlu dilaksanakan dan subsidi barangan mentah antara cadangan jangka pendek yang boleh digariskan segera bari meringankan beban rakyat.

Pihak kerajaan tegasnya tidak seharusnya terus memberi alasan tentang perubahan iklim yang tidak menentu sebagai punca kenaikkan harga barangan asas.
 
“Sudah jatuh ditimpa tangga, dipatuk angsa. Begitulah ibaratnya rakyat kita sekarang. Sudahlah harga barang keperluan utama naik, harga ikan melambung, menurut laporan akhbar hari ini, harga sayur pula tak terkawal.

“Kerajaan perlu laksana sistem pemantauan yang lebih berkesan supaya tindakan segera dapat dilakukan.

“Selain itu, perhebatkan kempen mengurangkan lagi kesan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang kian meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Media baru-baru ini melaporkan peningkatan harga beberapa jenis sayuran sehingga mencecah 200 peratus.

Sebelumnya pada Oktober lepas, telur ayam turut dilapor mengalami peningkatan harga.

BACA:
K'jaan kena turun padang, kawal harga barang 

Malah kenaikan harga barangan tidak hanya terhenti setakat itu syarikat pengeluar roti, Gardenia Bakeries dilapor bakal melakukan semakan harga membabitkan produk mereka.

Tular dalam media sosial sekeping surat dari syarikat itu kepada peruncit, memaklumkan mengenai kenaikan harga untuk 38 produk tersenarai bermula 1 Disember ini.

Syarikat itu dipetik media sebagai berkata, bahawa semakan harga terpaksa dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah, antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko dan susu.

Selain meggesa kerajaan menyediakan subsidi barangan asas kepada pengguna, Hasbie turut menggariskan cadangan jangka panjang bagi menangani permasalahan peningkatan harga barangan.

Kerajaan juga mesti lakukan pemantauan
Antaranya, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenal geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

“Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments