Tak wajar panggil PRU15 segera - penganalisis



SEORANG penganalisis politik mengingatkan supaya kestabilan pentadbiran di peringkat Pusat perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mah diadakan pada kadar segera.

Prof. Wong Chin Huat dipetik laporan Awani berkata, sekiranya enakmen anti lompat parti tidak diluluskan dan dikuatkuasakan dalam politik peringkat Persekutuan, ia mungkin akan membawa krisis yang sama seperti di Melaka.

Menurutnya, jika perkara itu berlaku, negara akan terus dibawa ke ambang keruntuhan.

“Kalau kita adakannya (PRU15) secepat mungkin, mungkin akan wujud pemusatan kuasa seperti dahulu kemudian ia diulangi dengan keangkuhan dan perpecahan.

“Ataupun apa yang berlaku di Melaka tidak diulangi, sebaliknya kita akan mendapat Parlimen tergantung di Persekutuan dan kemelut politik berterusan,” tegas Chin Huat dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.

Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan yang menyeru supaya PRU15 diadakan segera selepas gabungan itu menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menyifatkan seruan Mohammad Hasan itu sebagai tidak wajar, beliau turut berkata apa yang dijanjikan BN selepas kemenangan itu untuk memperkenalkan undi tidak percaya konstruktif dan penggal minimum di Melaka harus juga diangkat ke peringkat Persekutuan dalam usaha menjamin kerajaan yang lebih stabil.

Jangan judikan masa depan negara
Terdahulu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut mengkritik cadangan diutarakan Mohamad Hasan itu.

Menyifatkan seruan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Ahli Parlimen Johor Baharu itu turut berkata, kecenderungan untuk mengadakan PRU15 segera hanya  memperlihatkan parti diwakili Mohamad Hasan seolah-olah tidak mengambil peduli situasi rakyat dan negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.