Nur Jazlan gesa PAS berhenti main drama


TIMBALAN
Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed menggesa pemimpin parti PAS supaya berhenti bermain wayang berhubung kerjasama parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Gesaan itu disusuli pertanyaan, apakah tindakan beberapa pemimpin PAS berbicara kembali mengenai kerjasama MN setelah melihat parti itu mengalami kegagalan teruk ketika bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

Sedangkan menurut Nur Jazlan, PAS dilihat lebih selesa bersama PN ketika mahu menghadapi PRN tersebut.

"Selama ini, PAS yang selalu cabuli semangat MN, PAS cabar maruah dan angkuh dengan UMNO tetapi tiba-tiba bila sudah terhantuk baru hendak sebut balik pasal kerjasama.

"Cukup-cukuplah PAS berdrama mengenai kerjasama MN dan UMNO ini.," kata dipetik portal Sinar Harian.

Pada PRN Melaka, PAS memutuskan untuk bertanding dibawah bendera PN bersama parti Gerakan dan Bersatu.

Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelumnya dilapor memberi 'panduan' agar ahli parti itu mengundi calon PN sekiranya berlaku pertembungan blok politik itu dengan calon Umno.

Pada PRN itu, PAS sekali lagi mengulangi kegagalan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelumnya yang menyaksikan mereka gagal memenangi mana-mana kerusi yang ditandingi mereka.

Kemudian pemimpin PAS mula bercakap kembali mengenai kerjasama dalam MN termasuk dari Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad memaklumkan parti berkenaan dijangka menentukan hala tuju parti itu sama ada terus bersama PN, MN dalam tempoh terdekat.

Sementara itu Nur Jazlan mendakwa bahawa agenda perpaduan ummah yang dilaungkan oleh PAS sebelum ini hanya retorik politik.

Jelasnya, parti itu lebih mengejar jawatan dan kuasa ketika bersama PN.
 
"Namun bila PAS melihat segala kelemahan sebenar PN terutamanya Bersatu, baru mereka sedar dan mula terhegeh-hegeh balik dengan UMNO.

Apakah PAS hilang keyakinan pada PN?
“Maruah UMNO tidak boleh lagi selamanya dicabar dan dicalarkan oleh PAS dalam masalah MN ini sebaliknya parti itu perlu bertegas sebelum tiba PRU15.

"Peringkat akar umbi UMNO sebenarnya sudah muak dengan isu kerjasama dengan PAS ini,” katanya sambil mendakwa ramai ahli akar umbi parti itu tidak mahu kerjasama dengan PAS diteruskan.