Kemiskinan haid: Napsiah bidas anak Zahid Hamidi


WANITA
Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) menempelak kenyataan anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia

Napsiah Khamis yang juga merupakan Exco sayap parti itu mahu Nurul Hidayah Ahmad Zahid supaya tidak menyamakan kehidupan mewahnya seperti wanita-wanita lain yang berdepan isu itu.

“Adakah Nurul menyamakan kehidupan mewahnya sama seperti wanita-wanita lain? Adakah kemiskinan itu satu perkara yang perlu ditertawakan?” soal Pengerusi NGO, Bidadari itu.

Napsiah bersama NGO diketuainya sebelum ini sering memuatnaik ke laman sosial kempen-kempen kesedaran kemiskinan haid dalam negara ini.

Isu kemiskinan haid tegasnya perlu diberi perhatian sebaiknya.
 
“Saya menyangkal sekeras-kerasnya bahawa tiada masalah kemiskinan haid di Malaysia malah saya mendesak supaya kerajaan mengambil serius dan mencari penyelesaian untuk isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Nurul Hidayah mengatakan bahawa tuala wanita di Malaysia adalah murah dan tiada isu Kemiskinan haid di Malaysia.

Dalam kenyataan di Instagramnya ketika menjawab komen salah seorang pengguna yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun,” katanya.

Sementara itu Napsiah mendedahkan hasil daripada kempen yang dijalankan, pihaknya mendapati ramai wanita gelandangan menggunakan tisu di tandas awam atau kain di dalam tong sampah.

Isu kemiskinan bukan untuk diketawakan
Tambahnya, ada antara golongan tidak berkemampuan menjimatkan kos membeli tuala wanita dengan seharian memakai tuala yang sama dan ada juga kembali ke zaman 20 tahun lalu dengan menggunakan kain batik atau baju-baju lama semasa haid.

“Remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana tiada tuala wanita.

“Wanita susah tidak ganti tuala wanita semasa haid untuk jimatkan penggunaan, seharian sanggup memakai tuala wanita yang sama,” katanya lagi.