PAKATAN HARAPAN (HARAPAN ) mahu mengkaji semula segala bentuk persefahaman dengan kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.
Ia susulan tindakan Jemaah Menteri sebulat suara menerima permohonan 'menghadiahkan' Najib Razak, sebidang tanah dan sebuah rumah yang dianggar bernilai RM100 juta seperti didedahkan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Pengerusi HARAPAN yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada HARAPAN, dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.
Keputusan Kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tambahnya ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.
“Di saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak yang masih tidak jelas nasib mereka, anak-anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa.
“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak) telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.
“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” kata Anwar dalam kenyataan.
Pada 13 Sept, kerajaan dan HARAPAN memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Anwar dalam kenyataanya juga menyatakan, dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini, Najib sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri.
Keputusan Kabinet dianggap tak masuk akal |
Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.
0 Comments