Dewan kecoh lepas Menteri guna alasan 'nasihat dari SPRM'


DEWAN RAKYAT
semalam kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang bertubi-tubi membangkitkan isu tentang sikap menteri-menteri yang didakwa enggan menjawab soalan dikemukakan mereka di Dewan Rakyat.

RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong) mendakwa Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique enggan menjawab soalannya pada Rabu tentang sama ada pemimpin kanan MIC terlibat dalam penyelewengan dana geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Ketika membuat penggulungan, menteri beri penjelasan bahawa beliau tidak dapat jawab soalan itu kerana dinasihatkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak jawab soalan itu.

“Saya juga kemukakan usul di bawah aturan 18 yang kemudian ditolak untuk membincangkan penyelewengan dana MITRA. Saya tanya tentang (MITRA) dalam perbahasan saya. Tapi menteri tak jawab.

“Berselindung di belakang alasan bahawa pihak SPRM menasihatkan beliau tidak menjawab soalan itu. Bagaimana kita nak dapat penjelasan?,” soalnya di Dewan Rakyat semalam.

Isu itu turut mendapat perhatian Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bangkit menegur agar Speaker tidak membenarkan alasan seperti itu terus digunakan sehingga boleh menyebabkan perbincangan mengenai salah guna kuasa dan rasuah disenyapkan begitu sahaja.
 
Beliau menggesa supaya isu yang dikatakan  itu dibenar untuk dibincangkan dalam Dewan selain  tidak bersetuju menteri-menteri cuba berselindung di sebalik SPRM untuk mempertahankan diri.

"....Kenyataan itu sangat berbahaya kerana kalau ini disebut, tiada permasalahan rasuah dan skandal boleh dibincangkan di Parlimen, semua dalam siasatan, sebahagian besar di mahkamah,dan tak boleh diberikan penjelasan. Ini akan jadikan Parlimen ini sindiran tempat untuk kita bersandiwara.

“Kalau begitu, kita nak tahu SPRM ini di pihak mana. Dia melawan rasuah atau penyokong rasuah. Kalau dia lawan rasuah, dia patut beri laluan sepenuhnya kepada Dewan ini untuk mmbahaskan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Speaker juga tegas Anwar wajar memberi ruang kepada wakil rakyat menyoal apa sahaja perkara yang didakwa berlaku penyelewengan dan rasuah.

Selain Anwar, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran turut bangkit mempersoal tindakan menteri itu.

Tegasnya SPRM tidak boleh mengawal Dewan Rakyat dengan menasihatkan agar isu itu tidak dibincangkan.

“Bermakna (selepas ini) semua menteri boleh datang sini dan cakap ‘saya enggan jawab, bukan saya tak nak jawab. Saya tak boleh jawab kerana SPRM’. Kita yang bagi kuasa pada SPRM. Macam mana SPRM boleh kawal Parlimen. Tak masuk akal lah,” ujarnya.

Lim Guan Eng (HARAPAN-Bagan) pula mencelah dan meminta panduan dari Speaker sama ada seorang menteri dibenarkan untuk tidak menjawab soalan dengan alasan ianya masih disiasat SPRM.

Jika begitu katanya, Parlimen tidak perlu diadakan kerana tiada lagi ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Speaker mesti benar wakil rakyat tanya soalan
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pun sudah sebut, laporan Ketua Audit Negara tentang rugi RM620 juta mesti disiasat. Inilah satu contoh mengapa ia harus disiasat dengan secara mendalam.

“Tuan Yang Dipertua perlu pastikan, jangan benarkan menteri jawab sedemikian kerana ini lari daripada tanggungjawab mereka,” tegasnya.

Mereka juga kemudian mendesak agar Speaker membuat ‘ruling’ berkenaan hal itu.

Post a Comment

0 Comments