Hanya satu sekolah di Parlimen Johor Baharu terima komputer riba - Akmal Nasir


ISU
berkaitan penyerahan  150,000 komputer riba percuma kepada murid B40, di bawah inisiatif Tabung Cerdik (CERDIK) masih belum berkesudahan.  

Selain program itu dijalankan terlalu perlahan, masalah berkaitan proses pengagihan komputer terus dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen kerana masih ramai murid dilapor belum menerima bantuan tersebut sehingga dibimbangi akan merencat proses pelajaran pelajar.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong,  Lim Lip Eng mempersoalkan apa yang berlaku kepada program itu kerana hanya tiga daripada 13 sekolah yang ada dalam kawasan parlimen diwakilinya telah menerima komputer riba yang dijanjikan.

Perkara sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Melalui satu hantaran di laman sosialnya, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu mendedahkan hanya satu sekolah sahaja di Parlimen itu yang menerima peruntukan komputer riba percuma yang dijanjikan kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Akmal turut mendakwa, hanya 71 buah komputer riba yang diperuntukkan kepada sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi dengan status agihan ‘akan diagih’.

“Kemanakah 150,000 laptop pergi? Ini janji yang dibentangkan dalam belanjawan sejak tahun lepas lagi.

“Hari ini barulah saya dapat maklum balas daripada Menteri Pendidikan, rupanya hanya sebuah sekolah dalam Parlimen Johor Bahru yang terima pemberian laptop.

“Itupun masih belum dapat!,” selarnya.

 Kelewatan agihan komputer riba dipersoalkan
Pada awal Oktober lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hananh Yeoh melalui ciapannya di Twitter, turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan jumlah komputer riba yang diterima di Parlimennya.

Melalui gambar yang dikongsikan bekas timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, hanya dua buah sekolah sahaja yang menerima bantuan tersebut dengan jumlah 60 buah komputer riba.

Post a Comment

0 Comments