Wartawan Harakah mohon maaf, tiada niat fitnah Mujahid

PROSES mediasi saman dikemukakan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Mujahid Yusof terhadap portal lidah rasmi parti PAS - Harakah dilapor telah diselesaikan semalam.

Wartawan Aziz Muda dilapor mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Mujahid setelah mengaitkannya dengan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat yang memakai telekung dan berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah tahun lalu.

Aziz berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) melalui penerbitan artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan” dan “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”yang disiarkan.

PH merujuk kepada kerajaan HARAPAN yang mentadbir negara dengan mandat diberi rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Dalam permohonan maaf itu, Aziz mengakui mengenali Mujahid secara peribadi, dan menyedari banyak usaha-usaha telah dilakukan Naib Presiden AMANAH itu dalam bidang dakwah.

Justeru dia mengakui bahawa Mujahid tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan tindakan Sajat yang bertelekung ketika menunaikan umrah di Makkah.

Sebagai rekod, Mujahid yang merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar sering menjadi sasaran fitnah dan kecaman penyokong parti politik yang tidak sealiran dengannya. Tindak tanduk atau kenyataannya sering dikontroversikan bagi memburuk-burukkan imej kerajaan HARAPAN yang memerintah ketika itu.

Mujahid dalam samannya sebelum ini mendakwa artikel diterbitkan Harakah itu sebagai memfitnahnya.

Selaku plaintif beliau menegaskan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti LGBT selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Selain Harakah dan Aziz, beliau menamakan Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendant dalam saman itu.

Sementara itu dalam permohonan maaf itu juga, Aziz mengakui  Mujahid tidak pernah melarang pihak berwajib dan orang ramai daripada melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti ‘Lesbian Gay Biseksual Transeksual’ (LGBT) dan perzinaan.

Malah lebih penting dia mengakui anak kepada bekas Presiden PAS itu tidak pernah membenarkan dan/atau menyokong amalan LGBT dipraktikkan di Malaysia.

“Oleh yang demikian, saya (Aziz) dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof sekiranya Artikel-artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof.

Aziz kata tak niat fitnah Mujahid
“Saya juga telah meminta pihak Harakah dan Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran Artikel-artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi mengguna pakai dan membuat rujukan kepada Artikel-artikel tersebut di masa hadapan,” katanya.

Permohonan maaf itu turut disiar di laman web Harakahdaily yang sebelum ini menyiarkan artikel dianggap fitnah itu.


Post a Comment

0 Comments