S'gor tangguh penyahwartaan HSKLU lepas campur tangan Anwar


MENTERI BESAR
Selangor, Amirudin Shari beri jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sehingga isu berbangkit diselesaikan.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil melalui satu kenyataan malam tadi.

Perkembangan itu menyusul pertemuan pimpinan tertinggi parti itu bersama dengan Amirudin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor Hee Loy Sian seperti diarahkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Biro Politik menekankan bahawa sebarang keputusan yang dibuat berhubung hutan simpan itu mesti mempertahankan beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik; serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimumkan.

Ini termasuk perkara yang dibangkitkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan badan bukan kerajaan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam kenyataan.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Isnin lalu, Loy Sian berkata kerajaan negeri bersetuju menyahwartakan kawasan itu bagi projek pembangunan bercampur.

Perkara itu mencetuskan kritikan termasuk daripada kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN).

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail yang kecewa dengan keputusan itu turut menggesa undi tidak percaya ke atas Amirudin Shari dibuat.

10 ahli Exco Kerajaan Negeri yang meluluskan sebulat suara nyahwarta hutan Simpan Kuala Langat Utara pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu turut digesa segera meletakkan jawatan.

Mengambil maklum kebimbangan dinyatakan banyak pihak, Anwar telah mengarahkan Amirudin tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan kerajaan negeri itu.

Sementara itu Fahmi turut memberitahu bahawa pada pertemuan itu juga isu pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut dibangkitkan.

Amirudin beri jaminan tangguh penyahwartaan
Amirudin katanya telah menjelaskan bahawa PJD Link merupakan cadangan semula pihak swasta bagi menggantikan projek Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX), iaitu sebuah projek Kerajaan Persekutuan.
 
Tambahnya, Menteri Besar juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri belum memberi apa-apa kelulusan berhubung PJD Link, dan pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh dan harus kembali kepada Kerajaan Negeri untuk proses-proses seterusnya.

Post a Comment

0 Comments