Konspirasi lantik 'kluster mahkamah' jadi timbalan Speaker?


TOKOH 
wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin mendakwa seolah-olah ada  konspirasi di kalangan ahli Dewan Rakyat Umno untuk melantik kluster mahkamah  mengisi jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Dakwaan itu disuarakan beliau melalui satu hantaran di laman sosial Facebooknya seperti dilapor Malaysiadateline.

“Nampak macam ada konspirasi di kalangan Ahli Dewan Rakyat Umno untuk memartabatkan kluster mahkamah dan kleptokrat sebaik saja Ismail Sabri Yaakob dilantik Perdana Menteri,” tulisnya.

Baru-baru ini, media melaporkan Umno bakal mencalonkan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan sebagai calon dari blok kerajaan untuk dilantik menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, pencalonan itu dikritik banyak pihak kerana Ahmad Maslan sedang menghadapi perbicaraan kerana dituduh gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat berhubung cek berkenaan.

Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan bahawa speaker dan timbalan speaker sewajarnya dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti.
 
“Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad menggunakan sidang Parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah beliau, yang sekali gus mencemarkan kesucian Parlimen," kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Malah ura-ura bahawa kerajaan mahu mencalonkan Ahmad Maslan turut mendapat reaksi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,  V Sivakumar yang menyifatkan ia sebagai sangat mengejutkan.

Pencalonan Ahmad Maslan yang sedang berdepan kes di Mahkamah jelasnya bukan sahaja tidak baik bagi institusi Parlimen kita, tetapi juga penyerangan terbuka terhadap reputasi institusi tersebut.

Disebalik kritikan ramai terhadap pencalonan Setiausaha Agung umno itu, PAS pula dilapor menyokong pencalonan Ahmad Maslan.

 Kadir persoal niat naikkan Ahmad Maslan
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menurut laporan Utusan berkata, kesemua Ahli Parlimen Pas akan memberi sokongan terhadap pencalonan tersebut.

Sementara itu, Kadir dalam kenyataan media sosialnya itu juga turut mengingatkan Umno kepada kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sebelum ini.

“Calon Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat harus bebas kes mahkamah, kata Yang Di-Pertua Dewan Negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments