Jangan 'pusing' cerita, kata TMJ kepada Ahmad Faizal

 

TUNKU ISMAIL ibni Sultan Ibrahim dilapor membidas Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berhubung isu kos padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Dipetik laporan media, Tunku Mahkota Johor itu menggesa Ahmad Faizal yang juga merupakan Naib Presiden parti Bersatu supaya tidak menukar cerita berhubung pembinaan padang itu.

Gesaan itu susulan tindakan Ahmad Faizal yang menafikan kos RM10 juta bagi membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor yang difahami Tunku Ismail dengan berkata bahawa peruntukan itu sebenarnya bagi membaik pulih padang di seluruh negara.

“Saya ada ramai saksi malam itu beliau cakap 10 juta, apabila saya tanya berapa bajet buat padang SNBJ. Jadi, jangan tukar cerita,” katanya di laman sosial.

Tunku Ismail turut menegaskan beliau tidak berbohong ataupun salah tafsir mengenai isu RM10 juta itu kerana Faizal sendiri yang memaklumkan bahkan ada saksi yang turut mendengar.

Sebelum ini, pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mempersoal kewajaran kos sebanyak RM10 juta itu.

Menurutnya , kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia SSI yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.

“Saya buat RM1.4 juta sahaja. Saya pakai Zoysia. Kos dia tetap sama… paling mahal pun RM1.5 juta, takkan ada lebih mahal daripada itu. Kenapa jadi sampai RM10 juta?” lapor BH memetik rancangan Bola@Mamak.

Tunku Ismail menegaskan pihak yang mendakwa kos selenggara padang menelan jutaan ringgit sebagai tidak masuk akal.

“Untuk kos penyelenggaraan pun, (kos) tidak lebih RM300,000 setahun. Kalau ada orang nak selenggara padang perlukan berjuta-juta, itu cerita dongeng," tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail turut menegaskan kualiti padang di negara ini sudah jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan Singapura memandangkan rumput jenis ‘cowgrass’ masih digunakan di Malaysia.

TMJ tak salah tafsir kenyataan Ahmad Faizal
Bagi meningkatkan mutu bola sepak negara, penaiktarafan padang jelasnya wajar dilaksana kan.

“Kita main ‘cowgrass’ sepanjang tahun tetapi apabila skuad kebangsaan beraksi di luar, kita jadi kekok. Padang adalah pelaburan jangka masa panjang,”kata Tunku Ismail.



Post a Comment

0 Comments