BEKAS PERDANA MENTERI Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin).
Mahkamah juga tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.
“Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu ditolak dengan kos RM10,000 setiap seorang,” kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Supang Lian pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian semalam.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat keputusan ringkas dalam tuntutan saman cukai mereka terhadap Najib dan Nazifuddin.
LHDN kini sedang menunggu proses kemuflisan ke atas ahli parlimen Pekan itu dan anaknya dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Difahamkan bahawa Agensi itu bergantung kepada ringkasan keputusan berkenaan untuk proses tersebut.
![]() |
Najib dan anak terima notis tuntutan LHDN |
Hakim Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata, kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa ini dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.
0 Comments