SISTEM demokrasi berparlimen negara akan runtuh jika ia tidak lagi dihormati oleh pemimpin dalam negara, tegas Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Dalam temubual ekslusif berkaitan isu semasa bersama Ahli Parlimen Kota Raja itu yang disiarkan di media sosial, Mohamad Sabu melahirkan rasa bimbang sistem itu akan runtuh memandangkan apa yang berlaku sekarang.
Mengulas lanjut katanya, usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) menolak Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bukan disebabkan hal peribadi, tetapi tindakan Ahli Parlimen Pagoh dari Bersatu itu kata beliau yang merosakkan demokrasi berparlimen, kehormatan perlembagaan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Ini bukan soal perangai peribadinya. Tetapi Mahiaddin telah merosakkan institusi yang ada. Institusi Agong dan Parlimen. Ini yang perlu dihukum. Saya kalau jumpa Mahiaddin sebagai kawan lama, saya tidak ada masalah. Tapi dia telah menjahanamkan sistem politik Malaysia.
“Wajib dia dihukum. Berhentilah sebagai perdana menteri kerana dia dah lakukan kesilapan besar,” katanya dipetik.
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Mohamad atau lebih dikenali ramai dengan panggilan Mat Sabu berkata, permulaan Langkah Sheraton telah menunjukkan pemimpin kerajaan tidak lagi menghormati sistem pilihanraya, sehingga melingkupkan sistem Parlimen.
Ini katanya merupakan ketakutan terbesar di mana akan menyebabkan anak muda tidak lagi mempercayai kepada sistem demokrasi yang selama ini menjadi panduan dalam pemerintahan negara.
“Paling saya takut, sistem demokrasi hancur dan anak muda tak percaya lagi. Ini amat berbahaya. Bila mereka tak percaya, mereka cari jalan-jalan lain yang mungkin boleh mengancam keselamatan.
“Bila demokrasi berparlimen hancur, ia merbahaya. Unsur-unsur luar mudah ditiupkan agar isu perkauman dan agama terus dimainkan,” ujarnya.
Mohamad turut melahirkan rasa tidak senang terhadap taktik beberapa parti politik yang sering memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menakutkan orang ramai bahawa Islam sedang terancam.
Dengan sentimen yang dimainkan itu jelasnya, mereka mula menggerakkan Langkah Sheraton sehingga merampas tampuk pemerintahan dengan tidak melalui sistem pilihanraya.
![]() |
Kehancuran sistem demokrasi bahayakan negara |
Mengulas tentang kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti, Mohamad menyarankan agar Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatannya jika beliau masih mempunyai maruah.
0 Comments