PELANTIKAN Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan baharu tidak membawa sinar kepada penduduk Kuala Lumpur, kata seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).
Zahir Hassan yang merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Wilayah Persekutuan berkata begitu sebagai mengulas pengumuman kabinet baharu oleh Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.
Melalui satu kenyataan, Zahir berkata Menteri Wilayah Persekutuan yang dilantik perlu tinggal dan bergaul dengan masyarakat setempat setiap hari, namun Shahidan dakwanya tidak dapat menyelami kehidupan rakyat miskin bandar di Kuala Lumpur.
“Suka saya ingatkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, ada beberapa isu yang sepatutnya diberikan tumpuan sepenuhnya.
“Perancangan jangka pendek dan panjang harus segera dirangka untuk isu kemiskinan bandar, keciciran pembelajaran kanak-kanak B40, kehilangan pendapatan harian penjaja bandar, serta isu kehilangan pekerjaan.
“Dalam tempoh 100 hari, beliau sepatutnya telah merangka perancangan tindakan untuk semua isu tersebut,” katanya.
Beliau sebelumnya melihat pengumuman kabinet Ismail itu sebagai rombakan semata-mata dengan sebahagian menteri yang berkhidmat dibawah Mahiaddin Md Yasin sebelum ini terus dikekalkan.
Dalam pada itu, Zahir turut mengingatkan Shahidan bahawa segala permasalahan rakyat di Kuala Lumpur memerlukan tekad politik untuk perubahan dan tindakan yang mencabar status quo.
Beliau khuatir bahawa rakyat Wilayah Persekutuan cuma boleh mengharapkan pertukaran kerajaan di pilihan raya akan datang melihatkan kepada pencapaian politik Shahidan selama ini.
![]() |
Zahir persoal rasional lantik Shahidan |
Ismail sekali lagi dikritik kerana bukan sahaja mengekalkan jumlah kabinet yang besar tetapi juga didakwa 'mengitar semula' menteri dari Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini disifatkan ramai sebagai sebuah kerajaan gagal.
0 Comments