PELANTIKAN semula Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian tinggi dipertikai Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).
KMUM dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan semula Noraini Ahmad tidak menunjukkan langkah mewujudkan perubahan baru yang lebih baik, susulan pelbagai masalah dan kegagalan timbul sepanjang beliau memberikan khidmatnya ketika berada dibawah pentadbiran kerajaan perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Tegas mereka, pelantikan menteri baharu pengajian tinggi dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa dan bukan kerana untuk memenuhi kerusi ahli politik semata-mata.
“Jawatan ini tidak seharusnya diberikan begitu sahaja sebagai pemenuh kerusi buat ahli politik semata-mata.”
“Kegagalan beliau dalam menjalankan tugas sewaktu beliau memegang jawatan tersebut dalam kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa beliau tidak sesuai untuk memegang jawatan ini tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri pengajian tinggi,” kata KMUM.
Dipetik laporan FMT, kesatuan itu berkata antara siri kegagalan ketika Noraini menjadi KPT adalah apabila kementerian itu tidak merancang pergerakan pulang mahasiswa ke kampung halaman mereka dengan sebaiknya ketika pandemik Covid-19.
Kegagalan itu jelas mereka telah menyebabkan sehingga kini KPT masih belum dapat menyelesaikan tuntutan KMUM mengenai kos ujian calitan RT-PCR yang perlu ditanggung sendiri oleh mahasiswa Sabah dan Sarawak.
“Pada Oktober, kebanyakan mahasiswa ambilan baharu telah mengalami masalah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing apabila pengumuman penangguhan pendaftaran secara bersemuka diumumkan sehari sebelum pendaftaran di kampus berlaku.
“Ini merupakan suatu permasalahan apabila pengumuman ini dibuat seolah tidak mengambil kira kebanyakan mahasiswa dari negeri lain yang hadir ke kampus untuk mendaftar tidak dapat menetap di kolej,” kata mereka lagi.
Selain itu, KMUM juga berpandangan bahawa bahawa Noraini gagal dalam menggerakkan usaha untuk memansuhkan AUKU, sekaligus menunjukkan bahawa pihak kerajaan sepertinya tidak berminat membudayakan pemikiran secara kritis dan demokratik.
![]() |
Noraini dianggap sebagai menteri gagal |
“Kekangan dari segi autonomi kewangan di mana wujudnya karenah birokrasi pentadbiran universiti dan halangan bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk bebas bersuara masih lagi wujud walaupun dilihat kini tidak lagi relevan,” kata kenyataan tersebut seperti dipetik media.
0 Comments