KEADILAN Kelantan seru terus sokong prinsip perjuangan Anwar


MAJLIS PIMPINAN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu hadir ketika ada beberapa pihak mempertikaikan kewibawaan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dengan mencadangkan supaya Ketua Pembangkang ditukar.

Pengerusinya, Mohamad Suparadi Md Noor berkata, ketetapan terhadap tokoh yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian itu diputuskan dalam mesyuarat khas Pimpinan Keadilan Negeri Kelantan semalam.

“Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau (Anwar) jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

“Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” jelasnya.

Kenyataan itu turut ditandangani  Ketua Wanita KEADILAN negeri, Naziratul Aini Muhamad Sayuty dan Ketua sayap pemuda parti itu, Muhd Hafiz Muhd Kasasi.

Baru-baru ini, seorang pemimpin Amanah peringkat bahagian menggesa parti itu dan parti pembangkang lain membentuk semula Pakatan Harapan (PH) Plus dengan melantik seorang pengerusi baharu dan menukar ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Gesaan itu susulan Anwar gagal mendapat undi bagi dilantik sebagai perdana menteri.

Sebagai rekod, individu sama pada Febuario lalu pernah  menggesa pimpinan partinya mengkaji semula hubungan kerjasama dengan KEADILAN.

Tetap sokong kepimpinan Anwar Ibrahim


Sementara itu, KEADILAN Kelantan menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan ahli akar umbi KEADILAN untuk terus memberi sokongan terhadap prinsip yang diperjuangkan Anwar supaya agenda reformasi negara dapat di realisasikan.


“Kami menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14,” kata kenyataan bersama itu lagi.

Post a Comment

0 Comments