Jangan lindungi kleptokrat dan kluster mahkamah


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menggesa Ismail Sabri Yaakob yang baharu mengambil alih jawatan perdana menteri supaya tidak melindungi golongan kleptokrat dan kluster mahkamah 

Ketua Penerangannya, Halimey Abu Bakar berkata, kumpulan itu yang menyokong kerajaan yeng baharu dibentuk masih perlu dibicarakan dengan adil dan saksama tanpa campur tangan cabang eksekutif.

ADUN Seri Setia itu sebelumnya membangkitkan pertuduhan dihadapi beberapa pemimpin Umno yang berdepan kes mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  21 pertuduhan pengubahan wang haram dan 47 pertuduhan membabitkan salah guna dana sebuah yayasan.

Selain itu tambahnya, pihak polis juga wajar menyiasat dakwaan salah laku seksual yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik seperti yang tular sebelum ini.

"KEADILAN Selangor turut mendesak polis melakukan siasatan semula ke atas kes video intim yang memaparkan seorang individu yang menyerupai seorang ahli Parlimen daripada blok kerajaan.

"Polis juga diminta tidak melengahkan siasatan kes seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan setiausaha politik ahli Parlimen tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu ketika mengulas perkembangan semasa politik negara, Halimey menegaskan bahawa parti itu  konsisten dengan pendirian bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

Jangan kompromi dengan golongan kleptokrat
"KEADILAN Selangor berpegang teguh dengan pendirian seharusnya mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikembalikan kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat pada 9 Mei 2018 iaitu Pakatan Harapan (PH). Namun, kemenangan tersebut telah dirampas oleh golongan pengkhianat dan kleptokrat.

"Namun dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tempoh hari, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat dan kleptokrat," katanya.