Cadangan lantik Timb. Speaker pembangkang disambut baik

 


SARANAN supaya Ahli Parlimen pembangkang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat disambut baik sebuah kumpulan antirasuah.

Pengasas Rasuah Busters Hussamuddin Yaacub dipetik laporan portal FMT berkata, masyarakat umum akan melihat lantikan tersebut sebagai “kelegaan” daripada pertelingkahan politik yang telah berlangsung selama berbulan-bulan selain menjadi pendorong kepada langkah menuju politik yang matang.

“Langkah kecil menuju politik baharu, politik yang matang,” kata mengulas cadangan bekas Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.

Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Timbalan Speaker, menurutnya peletakan jawatan itu bagi memberi peluang kepada pihak pemerintah dan pembangkang untuk ‘menetapkan semula’ Dewan Rakyat yang bakal diadakan pada bulan September.

“(Jawatan saya) harus diganti oleh anggota pembangkang, tetapi usul itu mesti dilakukan oleh kerajaan.

"Sekiranya pemerintah melakukan (tindakan) itu, dan disokong sebulat suara, saya rasa ini akan sangat baik untuk sejarah Parlimen Malaysia kerana kita menunjukkan isyarat bahawa kita mahu Parlimen menjadi sebuah platform profesional,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pihak pembangkang mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan terlatih untuk memegang jawatan Timbalan Speaker.

Nga Kor Ming, Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo dan Nik Nazmi Nik Ahmad adalah pilihan yang jelas, katanya.

“Namun ada banyak pilihan lain. Selain mampu dan terlatih, individu itu juga harus bersifat adil.

“Timbalan Speaker tidak patut mempunyai personaliti ‘kayu’,” kata Oh sambil berkata seorang lagi Timbalan Speaker, Rashid Hasnon, harus diganti dengan calon yang mampu daripada kerajaan ekoran kontroversi “pesta durian” membabitkannya pada akhir bulan Jun.

Sebagai rekod, Nga merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada era pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN), Ahli Parlimen teluk Intan itu melepaskan jawatan pada Julai tahun lalu sebagai tanda solidariti terhadap Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang telah digugurkan dari jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat ekoran perubahan kerajaan.

Pembangkang ada ramai calon berkelayakan
Manakala Hannah pula yang diiktiraf sebagai peguam pernah menjawat jawatan sebagai Sepaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2013 sekaligus mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut.

Hannah ketika menjalankan fungsinya sebagai pengerusi dewan dibantu timbalannya Nik Nazmi.

Sementara itu, Ahli akademik Azmi Hassan juga dipetik laporan portal sama beranggapan bahawa Nga dan Yeoh adalah calon terbaik pembangkang.

Merujuk kepada Rashid, Azmi berkata, kontroversi “pesta durian” itu mungkin menjadikannya liabiliti dan “mungkin bagus” beliau mengundurkan diri secara sukarela.

Post a Comment

0 Comments