SSR lancar kempen #Lawan, desak Mahiaddin letak jawatan

 


SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) sekali lagi menggerakkan kempen sebagai tanda protes terhadap cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengurus pendemik Covid-19 yang semakin memburuk.

Bermula hari ini selama tiga hari, mereka menganjurkan kempen secara fizikal dan dalam talian dinamakan #lawan.

“Setelah hampir tujuh bulan pelaksanaan darurat dan sebulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP 3.0), kerajaan masih gagal mengawal kes jangkitan Covid-19

“Semalam, jangkitan baru Covid-19 mencecah 8,868 kes dengan 135 kematian yang menjadikan jumlah tersebut sebagai angka kematian harian tertinggi,” kata SSR dalam kenyataan.

Susulan kempen itu mereka menyenaraikan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi segera, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, mengadakan sidang Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.

SSR berkata bagi mereka yang ingin menyertai protes tersebut boleh melakukannya dengan memasang bendera hitam di rumah, berpakaian hitam ketika keluar membeli barangan keperluan dan mengibarkan bendera hitam pada kenderaan masing-masing.

Mereka yang menyertai protes itu diminta mengambil gambar dan memuatnaiknya di media sosial dengan tanda pagar #Lawan secara konsisten selama tiga hari bermula jam tiga petang ini.

Dalam kenyataannya juga SSR membangkitkan jumlah kematian akibat wabak tersebut yang kini telah melebih angka 5,900 orang.

Mereka turut memetik isu ramai pesakit kritikal Covid-19 yang tidak mendapat penempatan atau rawatan di hospital kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun di Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti dimaklumkan Kementerian kesihatan.

Mahiaddin didesak lagi letak jawatan
“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin telah gagal untuk memimpin negara ini keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum ini kempen "Bendera Hitam” yang menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan menjadi sohor di media sosial apabila ramai warga maya berkongsi gambar bendera hitam sebagai tanda sokongan.

Post a Comment

0 Comments