KERAJAAN Negeri Selangor yang dipimpin KEADILAN memperuntukkan sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 untuk kumpulan B40 di negeri itu.
Menteri Besar Amirudin Shari dipetik berkata, pihaknya menjangkakan 181,000 suntikan mampu diselesaikan akhir Julai ini melalui Program Vaksin Selangor (SELVAX) Komuniti.
Selain itu, kerajaan negeri turut akan peruntukan dua juta dos vaksin kepada sektor industri menerusi Program SELVAX Industri membabitkan satu juta pekerja termasuk pekerja asing.
“Keseluruhan program ini melibatkan 1.25 juta penerima vaksin daripada kumpulan komuniti dan pekerja industri,” katanya ketika mengumumkan Program SELVAX Selangor hari ini.
Katanya, dengan program berkenaan, Selangor dijangka mampu memendekkan jangka waktu sasaran vaksinasi 80% daripada populasi dewasa sekitar 100 hari lebih awal, iaitu sekitar Oktober berbanding Disember.
“Berdasarkan kadar suntikan sedia ada, dianggarkan proses vaksinasi hanya akan berakhir seawal Disember ini dengan sebahagian rakyat hanya lengkap mendapat dua dos vaksin pada 8 Februari 2022.
“Dengan Program Vaksin Selangor, kita mensasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih 26 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik serta hospital swasta,” katanya.
Mengulas mengenai program SELVAX komuniti, Amirudin menjelaskan bahawa ia mensasarkan untuk memberi vaksin kepada warga emas, penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) termasuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat.
Kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan.
“Penerima SELVAX akan diselaraskan dengan data Kementerian Kesihatan bagi memastikan tiada pertindihan data janji temu serta pensijilan vaksin, manakala SELVAX Industri yang merupakan program berbayar hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu,” katanya.
Untuk rekod, setakat 28 Jun, seramai 851,118 individu di Selangor menerima dos pertama manakala 270,221 individu lengkap menerima dos kedua.
Dalam perkembangan berkaita, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan program saringan massa Covid-19 dalam komuniti secara bersasar atau Penang Saring Covid-19 (PSC-19) mulai 5 Julai ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, PSC-19 akan bermula di Stadium Bandaraya Pulau Pinang melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Dato Keramat dan Pulau Tikus dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut senarai serta ketetapan yang akan diumumkan kemudian. Langkah proaktif lawan Covid-19
“Program PSC-19 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri membabitkan kaedah RTK-Antigen. Selain berurusan dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing, satu aplikasi bagi memudahkan rakyat membuat pendaftaran sedang dibangunkan dikenali sebagai penangsaring.selangkah.my,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook rasminya semalam.
0 Comments