VETERAN politik, Lim Kit Siang menggesa Mahiaddin Md Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan tidak mungkir kepada janji untuk membenarkan perbahasan diadakan dalam persidangan Parlimen minggu depan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu melalui satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu akan dipertanggungjawabkan dengan janji mereka itu.
“Kita tidak mahu cakap lain buat lain. Jadi mari kita tunggu Mahiaddin dan Takiyuddin memenuhi janji mereka pada Isnin depan.
“Setakat ini, persidangan khas selama lima hari ini amatlah luar biasa kerana saya tidak mengetahui mengenai mana-mana Parlimen di seluruh dunia yang memanggil sidang khas Parlimen selama lima hari yang hanya mengandungi sesi kenyataan menteri," kata Kit Siang dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyusul apa yang dijanjikan Takiyuddin bahawa Ahli-ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk berbahas dalam persidangan khas Dewan Rakyat.
.
Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agong PAS sebelum ini dilaporkan berkata bahawa perdana menteri telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya Ahli-ahli Parlimen dibenarkan untuk berbahas dan mengemukakan persoalan.
Sementara itu Kit Siang mencadangkan agar persidangan kali ini diadakan dengan format berbeza di mana setiap satu kenyataan yang disampaikan menteri, terus dibahaskan.
Ia bagi membolehkan Ahli-Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan dan juga menyatakan pendapat mereka mengenai perkara yang dibangkitkan.
Tambahnya, kenyataan menteri itu kemudiannya boleh digulung di akhir persidangan, dengan memberikan jawapan kepada penjelasan yang diminta dan pandangan yang dibangkitkan.
Beliau juga mencadangkan agar setiap perbahasan mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat perlu disusuli dengan undian.
“Memandangkan tidak ada waktu pertanyaan jawab lisan, setiap hari persidangan akan mempunyai enam jam waktu perbahasan.
![]() |
Kit Siang tuntut janji benarkan perbahasan |
“Malah, setiap kenyataan menteri ini sepatutnya diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu walaupun di bawah embargo, untuk membolehkan adanya perbahasan yang lancar dan efisien,” ulasnya lagi.
0 Comments