MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini membuat gesaan supaya kesemua Ahli Dewan Rakyat untuk hadir ke Parlimen pada 19 Julai ini.
Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Pengerusi Gabungan itu yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamed Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Gesaan supaya semua wakil rakyat itu hadir ke Parlimen pada tarikh itu adalah kata dua kepada Mahiaddin Md Yassin supaya memberi keputusan selewat-lewatnya pada 5 Julai ini untuk menyatakan dengan jelas tarikh Parlimen akan bersidang.
Ia sejajar dengan gesaan Yang Di- pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini yang memberi pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera.
"Kami kesal bahawa sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.
"Majlis Presiden berpandangan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah melakukan penderhakaan terhadap bukan sahaja
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga terhadap KDYMM Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
"Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan
krisis Perlembagaan.
Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021.
Menurut kenyataan itu lagi, gesaan untuk hadir ke Parlimen adalah meliputi Ahli Parlimen pembangkang mahupun kerajaan yang menjujung titah Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu Majlis itu berkata, sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos itu mesti membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.
![]() |
Majlis Presiden beri kata dua kepada Mahiaddin |
“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” tegas kenyataan tersebut.