Isu pendidikan mesti dibahaskan di Parlimen - JKPPH


JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mempersoalkan mengapa sesi persidangan khas Parlimen 26 Julai ini tidak membentangkan atau membahas isu pendidikan negara.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini jawatankuasa itu berkata, berdasarkan notis aturan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan agenda Persidangan Khas Parlimen kepada semua Ahli Parlimen tiada isu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)disenaraikan sepanjang lima hari bersidang.

Tambah mereka, Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui Ahli Parlimen mereka mengetahui perancangan Kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak KPM dan KPT.

"JKPPH berpandangan isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini,” kata jawatankuasa dipengerusi bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik itu.

Sehubungan itu mereka menuntut beberapa perkara untuk diambil tindakan oleh kementerian terbabit.

Tiga perkara itu adalah Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari ini memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.

Ahli Parlimen juga perlu diberikan ruang bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan dua kementerian itu sebagai menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.

 Isu pendidikan mesti tidak diketepikan
"JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.

"Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut," kata mereka lagi.

Post a Comment

0 Comments