Faiz Fadzil gesa kerajaan PN tidak berbohong kepada rakyat


SEORANG
wakil rakyat menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul diingatkan untuk berhenti menipu apabila mengatakan kerajaan telah berbelanja sebanyak RM530 bilion untuk rakyat.

Muhammad Faiz Fadzil yang merupakan ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang berkata kerajaan hanya membelanjakan RM300 bilion yang jumlah itu adalah wang rakyat sendiri.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu berkata, walaupun kerajaan menyatakan nilai pakej rangsangan ekonomi setakat ini adalah RM530 bilion, hakikatnya hanya RM83 bilion ataupun kurang daripada 6 peratus nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Lebih menyedihkan, hampir 57 peratus daripada nilai pakej RM530 bilion, iaitu RM300 bilion, sebenarnya dibayar oleh rakyat sendiri dan bukannya kerajaan.

“Langsung tidak masuk akal untuk kerajaan secara senyap memaksa rakyat menggunakan duit mereka sendiri untuk menolong diri sendiri tatkala krisis ekonomi melanda.

“Moratorium pinjaman tidak membantu kerana peminjam terpaksa membayar faedah dalam tempoh moratorium. Tidak seperti kerajaan Hungary, bukan sahaja moratorium berlangsung secara berterusan dari Mac 2020 sehingga Ogos 2021, faedah juga digantung dalam tempoh ini.

“Apa yang ada di Malaysia tidak lebih daripada moratorium ‘banker jaga banker’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sementara itu turut membidas laporan kementerian kewangan yang mendakwa bahawa pakej rangsangan Malaysia adalah setanding negara-negara maju yang menurutnya sama sekali tidak berasas.
 
Faiz berkata, jumlah bantuan kerajaan hanya enam peratus dari KDNK dan lebih rendah dari negara-negara maju lain, seperti USA (26.3 peratus), Singapura (20 peratus), New Zealand (19.3 peratus), Australia (19.1 peratus) dan UK (17.8 peratus).

Bahkan katanya, dakwaan suntikan 20 peratus nilai KDNK Malaysia adalah meleset sama sekali.

Pada masa sama, Faiz turut memperincikan tentang RM300 bilion yang merupakan wang rakyat hasil dari moratorium dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“RM210 bilion merupakan sumber moratorium, manakala RM90 bilion datang daripada sumber KWSP termasuk pengeluaran Akaun 1 dan 2. Tetapi ini tidak termasuk RM58 bilion nilai i-Sinar yang telah diumumkan,” ulasnya.

Bagi KWSP, perincian adalah seperti berikut:

    Pengeluaran i-Citra: RM30 bilion
    Pengeluaran i-Lestari: RM40 bilion
    Potongan caruman KWSP (pakej PRIHATIN): RM10 bilion
    Program Khidmat Rundingan Majikan: RM10 bilion

Bagi moratorium pula, perinciriannya seperti berikut:-

    Moratorium penuh pertama: RM100 bilion
    Moratorium penuh kedua: RM80 bilion
    Moratorium bersasar: RM30 bilion

Justeru itu tegasnya, kerajaan tidak wajar memasukkan anggaran jumlah pengeluaran KWSP dan nilai moratorium sebagai nilai pakej rangsangan ekonomi.

Nilai pakej itu katanya, lebih rendah daripada apa yang diumumkan kerana bukan semua rakyat mengeluarkan wang KWSP.

Pakej lebih rendah daripada yang diumumkan
“Ini juga akan menyebabkan amaun yang disuntik ke dalam ekonomi lebih rendah daripada yang sepatutnya. Akibatnya, strategi pemulihan ekonomi akan kurang berkesan dan rakyat akan terus merana,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments