Benjy meninggal dunia


PELAKON Benjy Ibrahim dilapor meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia hari ini.

Berita kematian Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim dimaklumkan adik Benjy, Inessa Irdayanty dan bapanya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar menurut laporan media.

Benjy difahamkan mengalami kesukaran bernafas kesan daripada asma kronik kira-kira jam 11 pagi tadi (waktu Malaysia) dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal.

“Ben (Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat asma hari ini,” kata Khairil Anwar yang dipetik Astro Awani.

Untuk rekod, Benjy, 43, sedang menjalani hukuman penjara di republik itu.

Pada 2017 mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas Benjy selepas dia didapati bersalah cuba menyeludup dadah jenis syabu.

"Benjy telah lama mengalami penyakit asma yang kronik dan masalah paru-paru, selain selalu keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu.

"Kami sekeluarga mengizinkan pihak penjara Medan mengebumikan jasadnya di sana.

Jenazah bakal dikebumi esok
"Urusan pengebumian akan dijalankan esok," kata Inessa dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Sementara itu, berita kematian Benjy ditangisi ramai penggiat seni.

Bagi mereka, Allahyarham akan dikenang bukan sahaja sebagai insan seni dengan bakat luar biasa, malah saudara, abang dan adik yang sangat dikasihi.

Post a Comment

0 Comments