Covid-19: Anwar kritik kadar saringan rendah


DATUK
Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggunakan strategi lapuk dalam melakukan ujian saringan Covid-19.

Ketua Pembangkang itu melalui satu kenyataan media berkata, kadar saringan harian masih rendah dan sehingga tidak mengejutkan kes positif yang dilaporkan menunjukkan penurunan.

"Pada 21 Jun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan hanya 58,384 ujian saringan COVID-19 telah dilakukan dengan 4,611 kes positif dikesan, dengan kadar kes positif pada 7.90%. Ia adalah kadar kes positif harian yang tertinggi sejak bulan Januari tahun ini.

"Ujian saringan telah menurun sebanyak 52% sejak 29 Mei dan tidak mengejutkan juga bahawa kes harian juga menurun sebanyak 48% dalam tempoh yang sama.

"Untuk membandingkan, pada bulan April 2021 yang lalu Malaysia secara puratanya melaporkan sebanyak 2,107 kes harian baharu dengan melakukan 58,277 ujian saringan satu hari. Dalam maksud lain, kita hari ini mempunyai dua kali ganda kes dengan kadar ujian yang sama yang kita lakukan pada bulan April," jelasnya melalui kenyataan itu.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, ramai pakar penyakit berjangkit, saintis data, pakar ekonomi, badan dan institut pemikir serta penyelidikan mengesyorkan kadar ujian saringan ditingkatkan tetapi jumlah ujian sebaliknya berkurangan.

Malah beliau menrujuk gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan 10 hingga 30 ujian mesti dilakukan untuk satu kes positif, atau lebih bilamana terdapat perebakan wabak bagi membendung kes-kes sporadik.

"Menurut syor dari WHO itu, Malaysia seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 138,000, atau 300,000 ujian saringan setiap hari. Sekiranya 138,000 ujian saringan dilakukan hari ini, kita pasti akan mengesan lebih 9,000 kes-kes baharu.

"Setakat ini, ujian saringan yang paling tinggi dilakukan adalah sebanyak 126,964 pada 29 Mei yang lalu. Angka ini jauh dari sasaran 200,000 ujian saringan yang disasarkan KKM.

“Malaysia dalam fasa darurat sejak Januari lalu. Saya bingung memikirkan mengapa keupayaan ujian saringan tidak mencapai sasaran dan mengapa kerajaan yang mempunyai kuasa di bawah Ordinan Darurat kini merayu kepada sektor swasta bagi membantu dalam rencana ini.

Jangan pakai cara saringan guna strategi lapuk
"Kempen vaksinasi juga lemah dan lembab, dengan dos total harian yang disuntik menurun sebanyak 40% sejak hari Khamis yang lalu.

"Dengan kadar vaksinasi yang lembab selembab siput, saya fikir amat wajar kadar pengujian ditingkatkan bagi melindungi kesihatan warga.” tegasnya dalam kenyataan tersebut.
 

Post a Comment

0 Comments