MENTERI Undang-Undang Takiyuddin Hassan menerima kritikan keras dari Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said susulan kenyataanya bahawa akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai isu pelanjutan tempoh darurat.
Melalui satu ciapan di laman mikro Twitter, Azalina yang pernah menyandang jawatan dipegang Takiyuddin berkata bahawa kerajaan tidak seharusnya "mengalihkan tiang gol" ketika darurat hampir berakhir.
"Sekiranya demikian (kabinet akan menasihati Agong), apa gunanya membentuk Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di Pertuan Agong di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021?
"Berhenti mengalihkan tiang gol!" katanya dalam ciapan yang turut menandakan (tag) pada akaun Takiyuddin.
Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agung PAS sebelum ini berkata bahawa Kabinet akan menasihati Seri Paduka Baginda berhubung keputusan sama ada darurat akan disambung lagi atau tidak.
Beliau berkata begitu sebagai respons kepada kenyataan terdahulu oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik oleh Malay Mail sebagai berkata bahawa hanya Agong yang mempunyai budi bicara berhubung tempoh darurat berkenaan.
Difahamkan di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat itu, jawatankuasa bebas yang terdiri daripada 19 orang mempunyai satu tugas - untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai tarikh darurat harus ditamatkan.
Peguam Haniff Khatri yang dipetik laporan media sebelum ini berpandangan bahawa oleh kerana peranan jawatankuasa tersebut termaktub dalam Ordinan Darurat - kerajaan menurutnya telah mengalihkan tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Agong tentang tempoh darurat dari kabinet kepada jawatankuasa berkenaan.
"Justeru, Takiyuddin adalah disarankan untuk patuhi peruntukan Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
"Sebagai menteri parlimen dan perundangan beliau juga wajib menentukan kerajaan Muhyiddin Yassin tidak mencampuri urusan tempoh darurat yang terletak pada jawatankuasa khas bebas itu, serta juga menjamin dan menentukan bahawa kerahsiaan dan keperibadian laporan jawatankuasa khas bebas itu pun dipelihara untuk tatapan dan nasihat Agong sahaja," katanya.
Darurat sebelum ini dijadual berakhir pada 1 Ogos. Kerajaan mempertahankan keputusan mereka menasihati Seri Paduka Baginda untuk pengisyhtiharan darurat kononnya untuk melawan pendemik Covid-19.
Sebaliknya Muhyiddin Yassin kemudian mengumumkan penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga membangkitkan kritikan ramai terutama dari Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Umno sendiri.
Pelaksanaan darurat itu dilihat gagal mengawal penularan wabak Covid-19 seperti dicanang kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pada minggu lalu Seri Paduka Baginda menitahkan agar pemimpin parti politik mengadakan pertemuan dengan Baginda.
Kerajaan didakwa mahu 'alih tiang gol' |
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin ketika menjawab ciapan Azalina menafikan bahawa kabinet "mengubah tiang gol" berhubung tempoh darurat.
"Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan peraturan permainan supaya membantu referee buat pengadilan yang betul," kata Setiausaha Agung PAS itu.
0 Comments