KENYATAAN Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada proklamasi darurat perlu dilanjutkan atau tidak dianggap sebagai satu penghinaan terhadap Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.
Pandangan itu diutarakan Noh Omar yang merupakan seorang dari ahli jawatankuasa itu sambil mempersoalkan peranan jawatankuasa bebas yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.
"Bagi saya ini satu penghinaan kepada saya sebagai ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agung .
"Kalau Yang di-Pertuan Agung bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat kabinet, soalan saya kepada menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?
"Adakah menteri merujuk kepada kenyataan perdana menteri mengenai peranan jawatankuasa bebas darurat? Saya minta Menteri jelaskan apa sebenarnya peranan Jawatankuasa bebas darurat ini?," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Takiyuddin ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat berkata,jemaah menteri bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak.
Kenyataan Menteri Undang-Undang itu kemudian dikritik Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang menyifatkan kerajaan cuba "mengalihkan tiang gol" ketika darurat hampir berakhir.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail turut bersetuju dengan pandangan Noh bahawa kenyataan Takiyuddin itu penghinaan kepada jawatankuasa bebas berkenaan.
Saifuddin menegaskan bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong kini berada di bawah jawatankuasa bebas.
Berdasarkan peruntukan itu jelasnya cukup spesifik iaitu “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya” bukan lagi tanggungjawab jemaah menteri.
"Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ini diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri.
"Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitulah “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.
"Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong. soalan saya kepada menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?" katanya dalam kenyataan.
Justeru katanya kenyataan Takiyuddin adalah amat mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan tentang fungsi jawatankuasa khas berkenaan.Menteri PN dianggap suka flip-flop
"Mengapa menteri-menteri Perikatan Nasional suka buat kenyataan yang bercanggah dan flip flop yang boleh mengelirukan rakyat?
"Saya fikir mungkin kerana Parlimen tidak dibenarkan bersidang maka tidak ada semak dan imbang dan menteri boleh membuat keputusan sesuka hati sahaja," katanya dipetik.
0 Comments