Anwar ingatkan Tun M, jangan korbankan rakyat untuk berkuasa


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung cadangannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah  supaya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan.

Melalui video yang disiarkan di Facebook, Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata tidak ada alasan untuk MAGERAN dibentuk dengan mengorbankan proses demokrasi atau Parlimen.

“Jangan korbankan rakyat kerana mahu jalan pintas untuk merebut kuasa dengan guna takrif darurat atau MAGERAN,” katanya melalui siaran itu.

Mahathir yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tahun lalu sehingga dianggap menjadi punca jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat cadangan itu ketika menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada Khamis.

Ahli Parlimen Langkawi itu kemudian dilapor media sebagai telah menawarkan diri untuk mengetuai majlis yang dibentuk untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada Perikatan Nasional (PN) itu.

Ahli Akademik kemudian melihat cadangan itu sukar memulihkan kemelut politik, ekonomi dan kesihatan dihadapi negara sekarang.

Dr Syed Agil Alsagoff dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dipetik Sinar sebagai berkata, penubuhan MAGERAN akan mencetuskan polemik terutamanya melibatkan persepsi politik dan ekonomi negara di mata luar bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Sementara itu, Anwar berkata pendiriannya amat jelas iaitu menolak darurat dan sidang Parlimen perlu segera diadakan.

Malah kerajaan tambahnya perlu mewujudkan dasar yang jelas bagi meringankan beban rakyat ketika negara sedang berdepan krisis Covid-19.

Anwar bidas cadangan MAGERAN Tun M
Pendirian agar darurat ditamatkan dan Parlimen perlu segera bersidang jelasnya turut dilontarkan oleh Umno.
   
“Jangan korbankan amalan demokrasi berparlimen demi kepentingan, untuk kembali memegang kuasa, padahal tak ada alasan munasabah untuk kita tolak demokrasi, sidang Parlimen,” tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments