Zaid gesa Muhyiddin mengaku PN gagal tangani pendemik


BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih rakyat pada PRU lalu agar mengetepikan rasa malu dan mengakui telah gagal menangani pendemik Covid-19.

Zaid  berkata demi kepentingan rakyat Malaysia, Muhyiddin Yassin perlu mengakui kegagalan itu terutama setelah rakyat berdepan situasi sukar dan tidak menentu sejak 18 bulan lalu.

Ahli Parlimen Pagoh itu tambahnya perlu merombak semula ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada yang ditugaskan membuat dasar dan menangani Covid-19.

“Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak (usah) malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain.

"Tidak payah ramai wakil polis dan tentera. Tidak perlulah ramai orang politik yang hanya mementingkan kepentingan politik," kata bekas ahli parlimen Kota Bharu itu.

Beliau menganggap tindakan kerajaan memilih orang yang tidak ada kemampuan menyelesaikan masalah sebagai punca kepada kegagalan tersebut.

Sebagai rekod, 'Perang' melawan Covid-19 di negara ini masih belum menunjukkan tanda reda walaupun kerajaan Muhyiddin membuat pengumuman darurat dan menutup Parlimen atas alasan untuk memerangi Covid-19.

Semalam hampir 4,500 kes baru direkodkan. lebih 500 pesakit dilapor telah ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan hampir 300 pesakit terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan Malaysia mencatatkan 432,425 kes setakat ini dengan 34,789 adalah kes aktif yang sebahagian direkodkan dalam gelombang ketiga yang tercetus sebaik Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan.

Ahli MKN perlu dirombak, kata Zaid Ibrahim
Sementara itu, Zaid berkata kerajaan dan MKN juga perlu berterus-terang kepada rakyat berhubung sesuatu tindakan yang diambil.

Malah beliau turut mencadangkan supaya hanya seorang individu dilantik menjadi jurucakap ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) iaitu Noor Hisham.

“Tidak payahlah menteri-menteri lain keluar TV. Keputusan dasar dan PKP mesti berteraskan fakta dan sains, bukan politik," katanya lagi.