‘Penyelesaian Dua Negara’: apakah Duta Khas tak nasihat Muhyiddin?


PENGERUSI Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah tampil mempersoal pendirian PAS berhubung perkembangan terkini Palestin.

Ia susulan perutusan Khas Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia menyokong penyelesaian konflik Israel - Palestin melalui Penyelesaian Dua Negara (Two-State-Solution).

Melalui satu kenyataan, Raja Kamarul Bahrin yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bertanyakan apa pendirian tegas parti itu dan Presidennya, Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menentang keras penyelesaian wilayah bergolak itu melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution

“Rakyat amat hairan dengan adanya pelantikan Presiden PAS, Hadi Awang, sebagai Duta Khas Timur Tengah, tiadakah nasihat yang telah diberi kepada Perdana Menteri seperti sepatutnya?

“Rakyat juga ingin bertanya, adakah Haji Hadi bersetuju dengan cadangan konsep dua negara, yang akan bermakna mengiktiraf negara Israel, oleh Muhyiddin setelah beliau berada dalam kerajaan?

“Adakah pendirian tegas PAS dahulu yang menentang keras dan tidak menyokong solusi dua negara telah berubah setelah memegang kuasa?” soal Raja Bahrin.

Menerusi perutusan khas disiarkan secara langsung di laman Facebook, Muhyiddin berkata, Malaysia menyokong penyelesaian melalui Penyelesaian Dua Negara.

Menurut Pengerusi PN itu lagi, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

Kenyataan Presiden Parti bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu mendapat kritikan termasuk dari Angkatan Muda KEADILAN.

Naib Ketua-nya, Syed Badli Shah Syed Osman menegaskan bahawa kenyataan  itu dianggap sebagai pengkhianatan terhadap rakyat Palestin.

BACA:
AMK selar 'perutusan khas' Muhyiddin Yassin

Kerajaan Malaysia tegasnya tidak seharusnya menyokong penyelesaian melalui rundingan dua negara kerana ia memberi gambaran bahawa Malaysia mengiktiraf kewujudan negara Israel.

"Sebaliknya kerajaan perlu memberikan sokongan padu ke arah penubuhan negara Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menceroboh tanah milik Palestin," katanya,

Sementara itu, Raja Bahrin bertanyakan sama ada PAS boleh bersetuju dengan tanah asal Palestin yang telah dirampas, dibina tembok pemisahan kawasan dan dasar apartheid yang diamalkan oleh Israel.

 Apakah pendirian PAS susulan kenyataan PM?
“Adakah PAS telah kini mempunyai sikap liberal terbuka boleh menerima itu semua seperti negara barat lain setelah PAS mempunyai Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan ?

“Ahli serta penyokong PAS dan juga rakyat biasa ingin mendapat penjelasan adakah PAS bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin tentang konsep dua negara untuk Palestin?

“Adakah pendirian PAS tentang nasib Palestin lain semasa di luar kerajaan dan kini telah berubah apabila memegang kuasa kerajaan?” soal Raja Bahrin lagi.

Post a Comment

0 Comments