Kembalikan hak rakyat Palestin, bukan mengiktiraf kewujudan Israel

 


Oleh:  MOHAMAD SABU | Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin telah membuat perutusan khas berkait konflik di antara Palestin dengan Israel dan menyeru supaya disegerakan diwujudkan dua negara, 'two state solution', iaitu negara Palestin dan negara Israel sebagai solusi kepada konflik yang sedang berlaku. Kenyataan beliau ini sekaligus meletakkan Malaysia telah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka. "The right to return." Apabila rakyat Palestin dapat kembali ke negara mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini, mereka berhak menubuhkan kerajaan yang mereka mahu.

Jika majoriti memilih pemimpin beragama Islam, maka bumi tersebut dipimpin oleh orang Islam, kalau majoriti memilih kaum Yahudi, maka mereka boleh juga menjadi pemimpin di situ.

Yang penting berikan hak kepada rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka ini sejak tahun 1948 untuk kembali ke Palestin. Ini yang perlu disegerakan, bukannya mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Manakala orang orang Yahudi asal yang berada di bumi Palestin sejak sekian lama, boleh terus berada di situ. Mereka yang baru datang ke Palestin selepas wujudnya kerajaan Israel 1948, mereka boleh memilih untuk berada di Palestin atau kembali ke negara asal mereka terutama di Eropah.

Mat Sabu kecam usaha wujudkan negara Israel
Kita mengiktiraf satu negara Palestin yang didiami oleh berbagai kaum dan agama. Hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka bukan berusaha wujudkan 2 negara. Jika dua negara bermakna kita mengiktiraf wujudnya negara Zionis Israel.

Oleh itu kita menentang keras usaha Malaysia yang diketuai Tan Sri Muhyidin Yasin untuk mewujudkan dua negara Palestin dan Israel, sebaliknya kita mahu semua rakyat Palestin yang diusir kembali ke kampung halaman mereka di bumi Palestin dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana. Yang ada hanyalah Palestin.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
 

15 Mei 2021

Post a Comment

0 Comments