Bekas KPN beri peringatan khas untuk 'ulama politik' penakut


BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa adalah sia-sia sekiranya ilmu agama tinggi melangit tidak digunakan dengan telus terutama dalam membenteras rasuah dan salah laku.

Beliau berkata begitu ketika diminta mengulas kecaman Dewan Ulama PAS yang mengkritik pendedahan beliau baru-baru ini mengenai campur tangan Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam urusan polis.

“Wahai para ulama politik sekalian, sila buka mata dan dengar tentang penjelasan diberikan sebelum mengkritik tindakan saya dedahkan campur tangan menteri dalam pengurusan polis.

“Bagi saya, apa gunanya ilmu agama tinggi melangit yang ada pada diri masing-masing tetapi takut untuk berterus-terang selain tidak berusaha untuk mengatasinya,” Abdul Hamid dipetik berkata oleh MalaysiaGazette.

Hamid kemudian menyifatkan pemimpin-pemimpin yang mempersoal pendedahannya baru-baru ini hanyalah sekadar “ulama politik”.

Laporan media sebelum ini mendakwa Ketua Penerangan Dewan Ulama, Mohd Nor Hamzah membuat tuduhan terhadap Abdul Hamid dengan berkata tuduhan terhadap Hamzah dibuat tanpa mengikut saluran rasmi untuk “mengundang sangkaan berunsur fitnah dan dakyah terhadap politik semasa”.

Dia mempersoalkan kenapa Abdul Hamid tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan yang dibuatnya itu semasa masih menjadi Ketua Polis.  

“Sudah saya jelaskan bagaimana aduan telah saya buat kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara tentang hal ini (campurtangan Hamzah).

"Adakah para ulama politik ini tidak faham tentang penjelasan itu?” soalnya.

Jumaat lalu, pada sidang medianya akhirnya sebagai pegawai tertinggi polis, Hamid mendakwa Hamzah “sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis” mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis.

Hamid beri tegur ulama politik penakut
Beliau juga mendakwa Hamzah di sebalik pengeluaran “surat keramat” untuk menangguhkan pertukaran pegawai yang dikaitkan dengan isu-isu tertentu.

Abdul Hamid kemudian mendakwa Hamzah “memaksa” Cawangan Khas Bukit Aman menjalankan beberapa operasi dengan tujuan politik untuk manfaat menteri itu selain  “mengatur langkah” untuk menjadikan “budaknya” sebagai pengarah Cawangan Khas.

Post a Comment

0 Comments