TOKOH politik veteran memberi amaran sikap cenderung mempolitikkan agama secara berterusan bakal membawa musibah buruk kepada negara.
Rafidah Aziz khuatir yang dipetik temubual dengan FMT berkata, beliau bimbang memikirkan masa depan Malaysia kerana ahli politik telah menggunakan agama sebagai alat bagi meraih sokongan dan undi.
“Apabila agama dipolitikkan, kamu akan terlencong dari rukun sebenar agama. Kamu tafsir agama mengikut nafsu supaya ‘menghalalkan’ matlamat kamu. Saya bimbang melihat hal ini.
“Dalam 55 tahun menceburi politik, sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak…saya boleh ‘nampak’ keadaan kita sebelum ini, keadaan kita sekarang ini, dan ke mana kita selepas ini. Apa yang saya ‘nampak’ menakutkan saya,” katanya dalam temubual itu.
Sebagai rekod, Rafidah berkhidmat sebagai menteri pelbagai portfolio, sejak tahun 1980 dibawah pentadbiran Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, dan Abdullah Ahmad Badawi dan bersara dari politik pada 2008.
Sementara itu, Rafidah berpandangan bahawa kerajaan masa ini telah“teralih daripada isu rakyat”.
Beliau yang sudah muak dengan ketoksikan politik tanahair melihat, politik hari ini mengenai kekal berkuasa semata-mata dan bukan lagi tentang sumbangan kepada negara.
“Covid-19 pun kamu mahu politikkan. Sekarang bukan masanya untuk fikir tentang politik. Rakyat boleh nampak kalau kamu sedang memancing undi dan matlamat kamu hanyalah kepentingan sendiri.”
Rafidah menggesa rakyat berfikir secara objektif apabila mengundi pada pilihan raya umum akan datang agar tidak dibuai oleh kata-kata ahli politik, yang suka berslogan dan mengubah mesej mengikut etnik pengundi yang disasarkan.
“(Kalau) Dia pergi ke majlis agama orang Islam, (dia) siap pakai serban dan sarung, cakap pasal ‘Allah’…(main) rentak Arab.
“Kemudian dia pergi jumpa orang Cina, cakap pasal kita berbilang bangsa. Lepas itu dia pergi jumpa orang India pula…Ini semua tak patut. Kamu harus bercakap dengan semua sebagai rakyat Malaysia.” tegasnya.
![]() |
Bimbang masa depan Malaysia |
“Saya Melayu, tapi pertama-tama sekali saya rakyat Malaysia.”
“Kalau kita terus-menerus menyokong politik yang berat kepada kaum tertentu, kita tanam benih-benih perselisihan,” katanya dipetik.
0 Comments