38 wakil rakyat sokong Ain, mahu persekitaran selamat di sekolah

KEMENTERIAN  Pendidikan (KPM) didesak supaya menyemak semula dasar dan sistem pendidikan bagi menjamin persekitaran yang kondusif dan selamat wujud di sekolah.

Gesaan itu disuarakan sebelah Ahli Parlimen dan 27 orang ADUN di Selangor susulan kes seorang pelajar perempuan Ain Husniza Saiful Nizam yang mendedahkan bagaimana  seorang guru membuat gurauan seksis tidak wajar terhadap pelajarnya.

Melalui satu kenyataan bersama mereka berkata, pengendalian kes itu menunjukkan wujudnya ketaksamaan gender dan ketidakadilan dalam sistem pendidikan.

“Jelas berlaku salah laksana keadilan. Individu yang berani bersuara terhadap budaya sedemikian dihukum oleh sekolahnya sendiri, sementara guru yang membuat gurauan dan pelajar yang membuat ugutan rogol terhadap Ain terlepas tanpa sedikit pun diambil tindakan.

“Ain dinafikan pendidikannya di sekolah dan kini mungkin terpaksa berpindah ke sekolah lain. Sekolah terbabit menafikan hak pendidikan Ain dan tidak berusaha memastikan persekitaran yang ada selamat untuk beliau kembali ke sekolah.

“Keadaan ini tidak boleh diterima kerana kanak-kanak mendapat contoh teladan daripada pendidik mereka dan gurauan mengenai rogol akan menjadi perkara biasa,” kata mereka.

Antara penandatangan kenyataan itu termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkifly Ahmad; bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industry Ong Kian Ming.

Ia turut ditandatangani Ahli Parlimen Tony Pua (Damansara), June Leow (Hulu Selangor), William Leong (Selayang) Charles Santiago (Klang) Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), dan Wong Chen (Subang).

Sementara itu tegas mereka, wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai sensitivity gender dalam kalangan guru dan pelajar.

“Akta Kesaksamaan Gender seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) mesti dilaksanakan bagi memastikan pelajar perempuan dan lelaki dilindungi,” kata kenyataan itu.

Mereka juga mahu KPM bersuara mengenai isu itu dan mengambil tindakan terhadap pengetua sekolah berkenaan kerana membuat komen negatif terhadap Ain di Facebook.

Media sebelum ini mendedahkan bagaimana Ain ditekan selepas pendedahan dibuatnya, terbaharu Ain didakwa digelar “anak setan pakai tudung” di Facebook sekali gus membangkitkan kemarahan netizen yang menggesa kementerian supaya mengambil tindakan.

 Tuntut KPM jamin persekitaran sekolah selamat
“Sengaja atau tidak, komen itu seolah-olah membenarkan guru dan pelajar melihat gurauan berhubung keganasan terhadap wanita sebagai sesuatu yang boleh diterima, selain membenarkan individu yang berani mempersoal status quo dihina,” katanya.

“Dalam responsnya, KPM tidak menyebut kes Ain, tetapi hanya memberi perhatian kepada isu pemeriksaan haid ke atas pelajar perempuan. Kementerian diharap akan memastikan keadilan terlaksana, tetapi ia memilih untuk mengabaikan isu utama.” tegas mereka lagi.

Post a Comment

0 Comments