Rakaman audio taktik singkir Zahid, dakwa Mahfuz

 


RAKAMAN audio tular yang didakwa membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid dianggap taktik terbaru kumpulan tertentu cuba menyingkirkan Zahid dari parti itu.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar dalam satu siaran video di laman Facebooknya berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud satu usaha di pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbulkan kemarahan akar umbi Umno terhadap Presiden mereka kerana dendam Bersatu susulan tindakan Umno yang mahu memutuskan kerjasama politik.

“Penyebaran yang sangat meluas ini menggambarkan satu usaha nak mengatur langkah bagi menyingkirkan Zahid Hamidi supaya jawatan Presiden itu dapat diambil alih oleh orang lain dan mengembalikan Umno kepada Muhyiddin serta Bersatu.

“PN (Perikatan Nasional )merasakan bahawa pendirian Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini yang mahu bergerak secara solo dalam pilihan raya sangat membimbangkan mereka.

“Bagi mereka ini akan mnyebabkan kekalahan kepada PN kerana Bersatu tidak mempunyai kekuatan. Bersatu sangat mengharapkan nilai tambah yang diberikan oleh Umno dan PAS,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman didakwa suara Zahid bersama individu yang suaranya mirip Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam rakaman itu individu didakwa Anwar memuji cara Zahid mengendali Perhimpunan Agung Umno (PAU).

 Bersatu sedar PAS tiada nilai tambah
Rakaman itu muncul ketika beberapa individu dalam Umno menggesa supaya Zahid berundur dari jawatan presiden setelah PAU 2020 telah memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan menetapkan bahawa Umno menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Bersatu sedar nilai tambah yang diharapkan dari PAS sama sekali tidak dapat membantu mereka untuk memenangi pilihanraya.

Kerana itu katanya, pelbagai rancangan sedang diatur kerana Bersatu kini sedang kegelisahan memikirkan pendirian Umno.
 

Post a Comment

0 Comments