Duta bertemu junta: HARAPAN tuntut penjelasan Putrajaya


PUTRAJAYA digesa memberi penjelasan berhubung pertemuan duta besar Malaysia ke Myanmar dengan menteri elektrik dan tenaga kerajaan junta itu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan berkata, mereka ingin tahu kenapa pertemuan itu diadakan sedangkan perdana menteri, Muhyiddin yassin sendiri pernah membuat kenyataan kritis terhadap junta termasuk menggesa tahanan politik, termasuk Aung San Suu Kyi, dibebaskan segera.

“Beliau juga menggesa satu sidang tergempar Asean diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas kudeta pada 1 Feb,” kata kenyataan oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada KEADILAN, Khalid Samad daripada Amanah dan Liew Chin Tong daripada DAP itu.

Pengasas bersama Free Rohingya Coalition, Ro Nay San Lwin sebelum ini berkongsikan gambar pertemuan yang didakwa sebagai kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Zahairi Baharim dengan menteri negara itu, Aung Than Oo yang disiarkan stesen penyiaran tentera negara itu.

Zahairi dikatakan Duta pertama dari Asia Tenggara yang mengadakan pertemuan rasmi dengan anggota kerajaan baharu tentera itu.

BACA: M'sia dikritik selepas duta bertemu menteri junta tentera

Sementara itu tegas HARAPAN kunjungan Zahairi itu telah memberi persepsi Malaysia mengiktiraf junta yang mengambil alih kerajaan Myanmar selepas rampasan kuasa 1 Feb lalu.

Pakatan Harapan tuntut penjelasan Putrajaya

Ia turut memberi memberi mesej buruk kepada negara lain dan bertentangan pendirian serantau dan negara terhadap rejim junta.

“Ini tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar. Oleh itu, kami mendesak menteri luar segera memberi penjelasan.” tegas mereka lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia hari ini berkata, pertemuan Zahairi  tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan Malaysia terhadap junta negera berkenaan.

Kementerian itu berkata pertemuan Zahairi hanya untuk menyampaikan keputusan anak syarikat Petronas untuk menghentikan sementara operasi projek gas Yetagun.