Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II meninggal dunia


PUTERA PHILIP meninggal dunia di Istana Windsor semalam ketika berusia 99 tahun.

Berita kematian suami kepada Ratu Elizabeth II itu dimaklumkan menerusi Twitter The Royal Family.

"Dengan dukacitanya, baginda ratu mengumumkan kematian suaminya, Duke Of Edinburgh, Putera Philip.

"Putera Philip meninggal dunia di Istana Windsor," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Ratu Elizabeth II.

Pada pertengahan Februari lalu, Putera Philip dimasukkan ke Hospital King Edward VII di London selepas dilaporkan tidak sihat.

Baginda kemudian dipindahkan ke Hospital St Bartholomew pad 1 Mac lalu selepas dua minggu dirawat.

Kenyataan akhbar Istana Buckingham memaklumkan bahawa Putera Philip dibawa ke hospital atas nasihat pihak doktor sebagai langkah berjaga-jaga, namun penyakit yang dihidapi Putera Philip dipercayai tiada kaitan dengan virus Covid-19.

Sepanjang menerima rawatan, Putera Philip hanya menerima kunjungan daripada putera sulungnya yang juga pewaris takhta, Putera Charles.

Philip, 99, bersara daripada urusan rasmi pada 2017.

Duke of Edinburgh itu memutuskan bahawa baginda tidak akan lagi akan terbabit dalam sebarang upacara awam bermula musim luruh tahun tersebut.

 Putera Philip berusia 99 tahun
Pada 20 November tahun lalu, Ratu Elizabeth dan Putera Philip menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-73. Lebih tujuh dekad melayari bahtera rumah tangga, baginda berdua menjadi inspirasi kepada sebilangan besar masyarakat dunia.

Putera Philip ialah Pasangan diraja British dan anggota kerabat diraja British  yang paling lama berkhidmat dan hidup.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Ratu Elizabeth II dan kerabat diraja Britain atas kemangkatan  Putera Philip.
 
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang turut dikongsi di laman Facebook Istana Negara. 

Post a Comment

0 Comments