Pengerusi DAP bidas Takiyuddin, dakwa tersilap buat kenyataan



PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, bahawa ia boleh berfungsi sepanjang tempoh darurat.

Wong Kah Woh berkata, menteri dari PAS itu telah tersilap dalam kenyataanya kerana Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat PAC dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) tidak boleh diadakan sepanjang tempoh penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“YB Takiyuddin telah tersilap, atau beliau tidak mengambil tahu kesan pengistiharan darurat terhadap PAC dan juga PSC yang lain,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor portal FMT semalam.

Wong berkata, PAC dan PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi pada 18 Mac lalu secara terbuka menyeru supaya mesyuarat PAC dan PSC dikembalikan, bagaimanapun rayuan itu diabaikan oleh kerajaan dan speaker.

“Saya hendak bertanya sama ada Takiyuddin benar-benar tidak mengetahui perkara ini atau cuba untuk mengelirukan rakyat di luar sana?

"PAC tidak akan membenarkan namanya digunakan oleh Takiyuddin semata-mata untuk memaparkan suatu persepsi kerajaan “tiada apa hendak disembunyikan,” tegas Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP itu.

Terdahulu, Takiyuddin dilapor sebagai berkata bahawa kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil pada masa sesuai, sama ada sebelum atau selepas darurat tamat pada 1 Ogos depan tetapi tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua pihak katanya, termasuk pembangkang boleh menyalurkan pandangan kepada kerajaan melalui saluran ditetapkan, seperti melalui Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan penguatkuasaan perintah itu, malah fungsi PAC berjalan seperti biasa.

Sementara itu tambah Kah WOh, sejak pelaksanaan darurat pihaknya bimbang melihat perkembangan semasa perbelanjaan kerajaan selepas tiada pemantauan dilakukan PAC.

 PAC bimbang perbelanjaan tiada pemantauan


“Antaranya warta kerajaan bertarikh 31 Mac 2021 yang membenarkan perbelanjaan yang dipertanggungkan dan pengeluaran Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan boleh dibuat dengan kelulusan kerajaan sedia ada,” katanya.


Sehubungan itu pihaknya sekali lagi menyeru speaker memanggil sidang Parlimen serta membenarkan PAC bersidang segera bagi membolehkan jawatankuasa itu menjalankan fungsi untuk memantau pentadbiran dan kewangan kerajaan terutama sekali berhubung perbelanjaan sepanjang tempoh darurat.

Post a Comment

0 Comments