PRESIDEN parti PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat tidak memahami isu yang diperkatakannya walaupun pendapatnya diselitkan ayat al-Quran dan Hadis.
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menyindir Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menurutnya tidak memahami isu dalam kenyataan yang mahu disampaikannya.
Dipetik laporan Portal malaysia Dateline, Ahli Parlimen Shah Alam itu , perlambangan jerung lapar yang bersembunyi di sebalik batu bagi golongan yang menolak pelaksanaan darurat yang ingin digambarkan Hadi Awang terhadap pihak yang menggesa darurat ditamatkan adalah tidak tepat sama sekali.
“Saya rasa kasihan kepada dia (Abdul Hadi) dan Pas. Jelas, dia tidak faham apa yang dia cakap.
“Dia menyamakan pihak yang menentang darurat itu sebagai golongan yang lagi teruk daripada ekstremis agama yang meletupkan bom.
“Hakikatnya kenyataan dia memang tidak tepat. Bagaimana boleh samakan orang yang bunuh diri, bunuh orang dengan sengaja (dengan golongan yang menolak darurat)?
“Ini memang satu perumpamaan yang tidak berasas sama sekali. Dengan keluarnya ‘fatwa’, ayat-ayat al-Quran dan hadis sudah rasa hebat dan tetapi kiasnya tidak kena langsung,” tegasnya dipetik laporan itu.
Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah mengecam pemimpin politik yang menentang darurat sebagai “jerung” dan lebih “rakus” daripada pelampau agama.
Terkenal dengan sikap suka memberi pandangan dengan cerita-cerita binatang, Hadi berkata, tindakan mereka menolak darurat untuk memerangi wabak Covid-19 membahayakan lebih ramai orang dan boleh mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa berbanding pengeboman oleh pelampau agama.
“laksana jerung di sebalik batu. Kerakusan mereka lebih teruk daripada golongan pelampau agama yang meletupkan bom dan membunuh dengan jumlah yang jauh lebih kecil dibandingkan dengan mangsa wabak Covid-19 yang tersebar di seluruh pelusuk dunia,” katanya di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan pelaksanaan darurat sama sekali tiada keperluan untuk menangani penularan Covid-19.
“Dia (Abdul Hadi) tak faham isu dan gagal membezakan antara darurat dengan PKP, SOP dan sebagainya.
"Dia anggap bahawa darurat itu perlu supaya PKP dan SOP dapat dilaksanakan. Kita sudah pun melaksanakan PKP dan SOP tanpa adanya darurat untuk beberapa bulan sebelum darurat diisytiharkan,” hujahnya.
Sehubungan itu, Khalid menegaskan pelaksanaan darurat sememangnya tiada matlamat lain kecuali hanya demi kepentingan politik.
![]() |
Hadi gagal beza darurat dengan PKP kata Khalid |
“Darurat diisytiharkan kerana hanya mahu kerajaan itu berkuasa termasuk meluluskan undang-undang dan peruntukan ikut suka hati untuk menjamin tiada siapa dapat menyentuh mereka.
“Pihak yang mengisytiharkan darurat itulah sebenarnya mementingkan diri bukan golongan yang menuntut darurat ditamatkan,” tegas Khalid membidas kenyataan pemimpin ulung PAS itu.
0 Comments