Peguam buat laporan polis terhadap Kamarul Yusoff


PEGUAM
Zulhazmi Shariff dilapor telah membuat satu laporan polis terhadap seorang kolumnis Harakah, Kamarul Yusoff.

Ia susulan tulisan Kamarul bertajuk 'Beza Antara Bantuan Melayu Islam dan Bantuan Cina Kristian' yang dikongsikan di facebook miliknya.

Menurut laporan yang dibuat di balai Polis Sungai Besi itu, Zulhazmi mendakwa Kamarul berniat untuk membangkitkan suasana kebencian, tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan dalam kalangan masyarakat awam.

“Saya membuat laporan ini agar pihak polis menyiasat penulis dan pemilik akaun Facebook tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” kata Zulhazmi dipetik laporan Malaysiadateline.

Sebelumnya Kamarul memuat naik tulisan itu mengenai bantuan dua Ahli Parlimen yang membantu pekerja penghantar makanan.

Sambil memuatnaik gambar pemberian bantuan Ahli Parlimen Pendang (PAS) Awang Hashim dengan Steven Sim (DAP), katanya kedua-dua tiada beza dari segi nilai bantuan, dan latar belakang penerima bantuan, cuma individu yang memberi bantuan itu berbeza.

“Yang berbeza ialah pemberi bantuan, satu Melayu Islam, tetapi satu lagi Cina Kristian,” katanya.

Tambah Kamarul,lagi yang membezakan kedua-duanya ialah Ahli Parlimen PAS hanya dinyatakan secara ringkas fakta kejadian beserta gambar rasmi pemberian bantuan.

Sebaliknya, kata beliau, Steven Sim menceritakan panjang lebar dengan menggunakan ayat-ayat yang dimaksudkan untuk mencetuskan emosi, dikaitkan dengan Ramadan dan disertakan dengan gambar-gambar terperinci yang sengaja dirancang dari awal untuk tujuan publisiti.

BACA:
Semoga jadi Ramadan bermakna untuk Adik Mohamad

Susulan kenyataan itu, netizen meninggalkan komen mengecam beliau kerana menjadikan perkara itu sebagai isu perkauman.

“Soal bantuan nak bagi pada siapa-siapa pun biarlah. Dah nama pun bagi bantuan. Bukan dia mencuri. Soal Cina post panjang-panjang yang Melayu post ringkas, itu pun jadi isu ke? komen Ayden Aliff.

Untuk rekod, sebelum membantu pemuda tersebut yang sebelumnya menghantar makanan menggunakan basikal yang dipinjam dari rakannya, Steven pernah menolong ibu tunggal yang dihalau keluar keluar rumah kerana tidak membayar sewa.

Kemudian beliau pula menolong seorang gelandangan India mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal.

BACA: Jangan menangis wahai ibu
BACA:
Uncle tak perlu tidur di kaki lima lagi


Perkongsian Steven di Facebook miliknya dipuji ramai dan menjadi aspirasi ramai orang.

Sebaliknya Kamarul menuduh bantuan diberikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga bekas Timbalan Belia dan Sukan itu mempunyai agenda tertentu.

"Maka dipuja-pujilah Cina Kristian itu kerana budi baiknya itu walhal ini semua adalah perancangan untuk publisiti bagi memenuhi agenda tertentu sahaja.

“Bukannya tidak ada Melayu Islam yang boleh membantu Melayu Islam yang hidup melarat jika diketahui tetapi mengapa Cina Kristian yang dipilih untuk mengadu?,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi.

 Laporan dibuat di Balai Polis Sungai Besi
Sementara itu tegas Zulhazmi, Kamarul sewajarnya bertanggungjawab dalam tulisan demi keharmonian masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

“Sewajarnya Ramadan dijadikan bulan muhibbah bukan kebencian,” kata beliau lagi.

Post a Comment

0 Comments