Badan Peguam cabar beberapa peruntukan Ordinan Darurat


BADAN PEGUAM dilapor telah memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar beberapa peruntukan Ordinan Darurat yang menurut badan tersebut terlalu luas dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya AG Kalidas melalui satu kenyataan berkata, Badan Peguam telah memfailkan tindakan undang-undang itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan deklarasi bahawa beberapa seksyen dalam Ordinan tersebut tidak konsisten yang menjadikannya tidak sah dan terbatal malah tiada kesan dari segi perundangan.

"Ordinan Darurat menyebabkan banyak kuasa diberikan kepada eksekutif, manakala perlindungan perlembagaan seperti semakan dan kebertanggungjawaban Parlimen dikurangkan.

"Dalam apa juga keadaan, rakyat tidak boleh dinafikan perlindungan asas dan perlindungan prosedural seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita," kata Kalidas seperti dilapor media.
 
Antara peruntukan Ordinan Darurat No 1 yang dipertikaikan Badan Peguam termasuk berkaitan pampasan untuk aset, kuasa eksekutif dan legislatif, serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Ia turut memohon deklarasi bahawa peruntukan Ordinan Darurat No 2 berkaitan berita palsu dan pernyataan pembelaan juga bercanggah dengan Perlembagaan.

 Permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi
Sebagai tambahan, badan itu juga memohon deklarasi bahawa, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri dan/atau kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab mengikut Perlembagaan untuk menasihatkan Agong supaya memanggil persidangan Parlimen untuk pengisytiharan darurat.

Ordinan terbabit kemudian perlu dibentangkan di kedua-dua dewan Parlimen untuk membolehkan resolusi yang perlu dan wajar diputuskan.

Post a Comment

0 Comments