PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) memberi amaran bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin kemungkinan melanggar Akta Polis sekiranya campur tangan dengan arahan Ketua Polis Negara (IGP) berhubung pertukaran pegawai kanan polis.
Dalam satu kenyataan Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji menyatakan rasa bimbang susulan laporan berita yang mendakwa Hamzah campur tangan dengan arahan pertukaran pegawai terbabit pada saat akhir.
"Sekiranya tuduhan itu benar, maka menteri dalam negeri telah campur tangan dan bercanggah dengan arahan IGP dan telah melampaui batas kuasanya.
"Menghentikan pertukaran pegawai dengan alasan tatatertib yang telah diputuskan oleh Ketua Polis adalah tindakan yang tidak wajar dan melanggar Akta Polis.
"Segala usaha untuk menggagalkan apa yang dia (IGP) cuba lakukan untuk membersihkan imej pasukan itu dianggap sebagai sabotaj dan bertentangan dengan kehendak rakyat," kata bekas pegawai tinggi angkatan tentera itu.
Tambah Mohamed Arshad lagi, Ketua Polis mempunyai hak prerogatif dalam memberi arahan dan mengawal pasukan polis dan semua pegawai dan orang di bawahnya.
"Itu termasuk mengenakan tindakan disiplin dan pertukaran pegawai-pegawainya," katanya lagi.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mengaitkan penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam urusan polis berhubung penangguhan pertukaran pegawai kanan yang diputuskan Abdul Hamid.
Abdul Hamid kemudian dilapor mahu menemui Setiausaha Agung parti Bersatu itu untuk menjelaskan dan meneruskan semula pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.
Sementara itu, Mohamed Arshad dipetik laporan media menegaskan bahawa pertukaran pegawai bawah bidang kuasa KPN mengikut Akta Polis 1967.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri itu, hanya mempunyai bidang kuasa atas masalah disiplin dan hal pertukaran di mana tiada undang-undang lain berkait.
Memandangkan tindakan KPN, Abdul Hamid Bador berada bawah Akta Polis, “PATRIOT merasakan tiada ahli politik, termasuk Menteri Dalam Negeri, perlu campur tangan dalam kuasa KPN untuk mendisiplinkan dan menukar pegawainya,” kata Arshad dalam kenyataan.
![]() |
Arshad memetik Seksyen 4(1) Akta Polis 1967 |
“Menghentikan pertukaran pegawai dengan alasan tatatertib yang sudah diputuskan oleh KPN adalah tindakan yang berniat jahat dan bercanggah dengan Akta Polis
"Akta Polis memberikan kuasa itu kepada IGP. Oleh itu, Patriot merasakan tidak ada ahli politik, termasuk menteri dalam negeri, yang boleh campur tangan dalam kuasa IGP untuk mendisiplinkan dan memindahkan anak buahnya," katanya lagi.
0 Comments