Yakin Tulen: Azmin teruk kena hentam



KETUA penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali dikritik teruk selepas mendakwa rakaman audio kononnya melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim adalah tulen.

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, walaupun jika rakaman yang didakwa membabitkan Anwar dan Zahid itu tulen, namun perkara tersebut tidak menjadi isu langsung.

“Anwar telah menafikan (rakaman itu) tetapi walaupun itu benar, apa masalahnya?

"Tidak ada pun yang dikatakan dalam perbualan itu jenayah,” katanya, sambil menambah bahawa jenayah sebenarnya adalah memfitnah orang lain.

Semalam, Azmin yang digelar 'pengkhianat' oleh penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana didakwa memulakan 'langkah Sheraton' yang membawa tumbangnya kerajaan pilihan rakyat selain mendakwa rakaman perbualan Anwar dan Zahid tulen berkata perbualan antara dua presiden itu sebagai pengkhianatan terbesar Anwar terhadap KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Dakwaan itu menurutnya berdasarkan pengalaman beliau sebagai individu rapat dengan Anwar.

Bercakap di Gombak Azmin malah berkata, kesahihan itu akan dibuktikan yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan kelak.

Bagaimanapun,  Abdullah Sani  selain menyelar kenyataan Azmin itu turut mendesak menteri kanan itu untuk “memeriksa” video seks gay tular yang dirakam di sebuah hotel di Sabah yang didakwa melibatkan beliau sebelum ini.

“Periksa video itu dan beritahu kami sama ada ia tulen atau tidak.” tambahnya.

Untuk rekod, Pada 2019, tidak lama selepas video jijik dua lelaki terlibat dalam aktiviti homoseksual tular, bekas ketua Angkatan Muda KEADILAN Santubong, Haziq Aziz mendakwa beliau dan Azmin adalah lelaki dalam video tersebut.

Azmin menafikan dakwaan itu, tiada pendakwaan dilakukan pihak berkuasa atas alasan identiti individu dalam video itu 'kabur'.

Selain Abdullah Sani, kenyataan Azmin semalam turut dikritik warganet.

Rata-rata menganggap Azmin seolah-olah tidak sedar diri dengan pengkhianatan yang dilakukan terhadap kerajaan HARAPAN menerusi Langkah Sheraton.

“Kita perlu percaya kata Azmin. Beliau adalah pakar dalam bidang pengkhianatan,” sinis Nafis Ammar di media sosial.

Sementara itu, Faris Zul meninggalkan komentar, “Pengkhianat berbicara tentang khianat” manakala Marcus Kutan pula berkata, “Berucap sambil tengok cermin, yang dilihat diri sendiri, yang dikata diri sendiri.”

Dipetik laporan Malaysiadateline pula, Abd Aziz Md Yusop pula berkata,  Anwar yang juga Pengerusi HARAPAN tidak mengkhianati parti dengan lompat parti.

“Jangan tuduh orang lain. Suluh dan pandang diri itu depan cermin. DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru audio tapi macam mana dengan video? Dah terang atau masih samar-samar lagi,” perlinya.

Kenyataan Azmin turut menarik perhatian Ahli Parlimen Klang dari DAP.

Charles Santiago mempersoalkan mengapa Azmin begitu bersungguh-sungguh meminta polis untuk menyiasat percakapan apabila tidak ada undang-undang yang dilanggar.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, isu yang lebih besar adalah sama ada telefon Anwar atau Zahid dirakam.

“Persoalannya adalah siapa yang memiliki kemampuan untuk mempunyai jenis kemahiran ini?

“Siapakah yang paling banyak mendapat keuntungan daripada pembocorkan perbualan ini dan memecah-belahkan lagi Umno?" soalnya.

Santiago juga berkata, Azmin sepatutnya menjadi orang terakhir yang bercakap soal pengkhianatan kerana beliau adalah salah seorang penggerak utama Langkah Sheraton yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Kenyataan Azmin malukan diri sendiri
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar pada satu sidang media ketika ditanyakan berhubung kenyataan Azmin secara sinis berkata, Azmin merupakan seorang pakar dalam mensahihkan audio dan video yang sukar disahkan.

"Tak apalah itu pandangan dia, pasal video dan audio ni dia pandai," kata Anwar ringkas disusuli ketawa orang ramai dalam sidang media itu.


Post a Comment

0 Comments