SEORANG Pemimpin KEADILAN Pahang menggesa Pakatan Harapan (HARAPAN) menjauhi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Gesaan itu dibuat Ketua Komunikasi KEADILAN negeri, Wan Fauzuldin Wan Samad susulan Ketetapan dinyatakan HARAPAN pada pemukiman yang diadakan gabungan itu baru-baru ini bahawa mereka tidak menolak kerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menghormati prinsip perjuangan dibawakan gabungan itu.
Menurut Wan Fauzuldin, HARAPAN perlu menjauhi Dr Mahathir dan parti Pejuang bagi mengelak gabungan itu sekali lagi berpecah dan memastikan gabungan tersebut tidak dilihat perlu bergantung kepada Dr Mahathir dalam usaha menawan semula pentadbiran negara.
"KEADILAN Pahang menyokong kesemua ketetapan yang dipersetujui di dalam pemukiman Pakatan Harapan (HARAPAN) di Port Dickson baru-baru ini.... kecuali Mahathir dan Pejuang," tegasnya.
Menurut Wan Fauzuldin, pendirian untuk tidak menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir dan Pejuang telah dipersetujui sebulat suara oleh semua Cabang KEADILAN di negeri itu.
Ia hasil mesyuarat agung peringkat Cabang di negeri itu yang diadakan secara berperingkat sejak 27 Mac lalu.
"Kesemua 14 cabang mengemukakan usul mendesak KEADILAN menolak sebarang kerjasama politik dengan Mahathir dan partinya sebagai usul utama.
"Rata-rata ahli KEADILAN menganggap punca kejatuhan HARAPAN pada Feb tahun lalu adalah kerana niat Mahathir sendiri untuk meruntuhkan kerajaan yang telah mengangkatnya sebagai perdana menteri.
"Dan bagi menghalang Anwar menjadi perdana menteri berikutnya seperti yang dijanjikan," katanya lagi.
Sebagai rekod Mahathir merupakan pengerusi penaja Pejuang, sebuah parti yang ditubuhkan - tetapi belum diterima pendaftarannya oleh kerajaan - ekoran krisis dalaman Bersatu pada tahun lalu.
Mahathir memberitahu media sebelum ini bahawa penubuhan parti itu tidak ada kaitan dengan HARAPAN dan dia tidak akan mengadakan rundingan dengan Anwar.
![]() |
Sebahagian anggap Tun M beban politik |
"Parti seperti ini akan menjadi api dalam sekam," kata Wan Fauzuldin sambil merujuk kenyataan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir yang baru-baru ini berkata bahawa partinya belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bersendirian atau menyertai mana-mana gabungan pada PRU15.