Mana menteri jaga air?, soal penduduk


ISU
bekalan air yang mengganggu penduduk Taman Bandar Sierra dan Taman Rimba dekat Telipok, Sabah sampai kemuncaknya apabila penduduk hilang sabar.

Penduduk membidas pelan mitigasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menurut mereka ibarat melepaskan batuk di tangga.

Seorang daripada mereka, Tony Paridi Bagang yang dipetik laporan sebuah portal berkata, penduduk memahami krisis air yang berlaku di Sabah bukan perkara baru, tetapi kecewa dan mula hilang sabar apabila aduan kepada JANS tidak dihiraukan serta tiada tindakan lebih proaktif.

Lebih mengecewakan jelas Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu ialah  JANS akan memberi pelbagai alasan dikitar semula apabila penduduk mengadukan masalah mereka.

“Penduduk Taman Bandar Sierra, khususnya lorong-lorong kawasan tinggi tidak mendapat bekalan air dan terpaksa berbelanja lebih untuk membeli air minuman untuk kegunaan harian. Bayangkan kos yang terpaksa ditanggung penduduk di kala berdepan pandemik.”

“JANS telah mengambil jalan mudah dengan memasang notis peringatan bahawa Taman Bandar Sierra adalah kawasan catuan bekalan air.

"Pada hemat saya, ini adalah langkah ‘defensive’ terhadap aduan penduduk yang semakin ekstrem akibat ketidakcekapan JANS,” katanya dipetik laporan FMT.

Difahamkan masalah gangguan bekalan air bermula sejak 23 April lalu, namun isu itu tidak selesai walaupun hari keenam bekalan air terputus di kawasan perumahan itu berlarutan dengan tangki air alternatif sudah habis digunakan.

 Sebelumnya portal tersebut turut memaparkan gambar beberapa kain rentang yang mempamerkan luahan penduduk kawasan itu.

Antaranya tertulis 'Kisah gangguan air di Sabah tidak pernah berakhir',  'Kami tiada air' dan 'Mana menteri jaga air?'.

Sementara itu, Tony Paridi menggesa pengarah JANS menggunakan kuasanya untuk bertindak secara proaktif.

Tony Paridi sampaikan rasa kecewa penduduk
"Janganlah pula beritahu penduduk masalah kos, logistik dan sebagainya kerana itu adalah masalah ‘rumah tangga’ JANS.

“Sebagai pengguna dan pembayar cukai, kami mahu penyelesaian, kenyataan saya ini akan menjadi kayu pengukur sejauh mana JANS akan bertindak untuk membantu penduduk di sini.” tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments