Langgar SOP: Apakah Muhyiddin akan kena tindakan ?



SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada Muhyiddin Yassin akan dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan wajib memakai pelitup muka.

Lim merujuk kepada beberapa gambar disiarkan media menunjukkan Muhyiddin tiba di Hotel Zenith di Johor pada 31 Mac untuk mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor tanpa mengenakan pelitup muka.

Sambil membandingkan apa yang berlaku dengan kes seorang “rakyat biasa” di Kerian, Perak yang dikompaun RM10,000 kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul, Guan Eng berkata, Presiden Bersatu itu bukan sahaja harus didenda tetapi juga wajar meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana gagal memimpin dengan teladan.

Guan Eng gesa Muhyiddin minta maaf pada rakyat
“Adakah tindakan dan kompaun akan dikenakan terhadap Muhyiddin kerana gagal memakai pelitup muka atau adakah Muhyiddin akan dilepaskan begitu sahaja sama seperti Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, yang gagal memakai pelitup muka dengan betul semasa menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM?

“Ini akan menjadi ujian sama ada Kerajaan PN serius terhadap pematuhan SOP Covid-19  atau sebenarnya kerajaan antara dua darjat.” tegas beliau.

Sebagai rekod, pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan sejak 1 Ogos tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memberitahu individu yang telah menerima vaksin perlu tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata individu yang ingkar boleh dikenakan denda RM1,500 dengan jumlah maksimum RM10,000.

Sementara itu, Guan Eng tidak menolak salah satu sebab kegagalan pengurusan krisis kesihatan awam Covid-19, yang menyebabkan lonjakan jangkitan yang tidak terkawal  semasa gelombang kedua akhir tahun lalu, adalah amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara rakyat biasa dan VIP, terutamanya Menteri.

“Kegagalan pengurusan krisis oleh PN menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita," katanya.

Tindakan Muhyiddin atau nama sebenarnya
Mahiaddin Bin Md Yassin turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Najib menegaskan penerima vaksin tetap perlu mematui SOP seperti yang diettapkan sendiri kerajaan pimpinan Mahiaddin.