PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi rap Altimet untuk menganggotai parti dipimpinnya.
Menyifatkan keputusan kedua-dua selebriti itu sebagai satu langkah berani, Anwar berkata bahawa kehadiran kedua-dua anak seni itu bermakna kepada KEADILAN kerana mesej disampaikan menerusi karya mereka memberi banyak kesedaran kepada anak muda.
“Saya tertarik dengan mereka ini dan ‘salute’ keberanian mereka bersama mengharungi perjuangan kita. KEADILAN ini bukan parti politik biasa yang berebut jawatan, kawasan atau pemerintahan.
“Mesejnya adalah reformasi.. pemerkasaan politik, ekonomi, budaya termasuk seni..muzik, perfileman dan lain-lain. Tanpa pemerkasaan ini elit yang akan menentukan. Sebab itu politik ini memerlukan suntikan semangat dan dukungan semua,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.
Afdlin Shauki yang merupakan pelakon dan penerbit filem serta penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet sah menyertai parti itu malam tadi.
Kedua-dua mereka menerima kad keahlian dari Anwar malam tadi.
Afdlin sebelum ini berkata ,semangat kental Anwar menjadi sumber inspirasinya untuk menyertai perjuangan parti itu.
“Jiwa besar Datuk Seri Anwar dalam memaaf dan menerima kembali orang yang pernah masukkan beliau dalam penjara merupakan hal yang membuka mata dan fikiran saya.
“Datuk Seri Anwar tidak pernah lelah dalam perjuangannya, begitu dedikasi dan komited untuk membela rakyat di sebalik kesengaraan yang beliau dan keluarga lalui.
![]() |
Anwar dalam program malam tadi |
Sebelum ini pelakon Hans Isaac turut sama menyertai KEADILAN sejak tahun lalu.
“Nampaknya semua seniman, ahli muzik, penyanyi bersama KEADILAN sekarang ini,” kata Anwar dalam program itu.
0 Comments